MALAYSIAKINI
Seorang penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) maut akibat dilanggar
sebuah kereta yang dipandu seorang pensyarah universiti berkenaan di
dalam kawasan kampus di Shah Alam semalam.
Mangsa, Fatin Farradia Yusof, 20, dilanggar kenderaan itu ketika
berjalan selepas bergambar bersama rakan-rakannya di kawasan Fakulti
Komunikasi dan Pengajian Media sehingga menyebabkannya terjatuh dari
kawasan berbukit ke perhentian bas berdekatan.
Fatin Farradia merupakan penuntut tahun kedua Diploma Sains Sukan dan
Rekreasi meninggal dunia kira-kira jam 7.30 malam tadi, di Hospital
Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, berikutan pendarahan dalaman.
Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM, Prof Dr Azizul Halim
Yahya ketika dihubungi berkata dalam kejadian 5.20 petang itu, mangsa
yang baru selesai menghadiri kuliah, dikatakan sedang berjalan bersama
rakannya sebelum dilanggar kereta itu, menyebabkannya tercampak.
"Kereta pensyarah itu kemudian melanggar pembahagi jalan manakala mangsa
jatuh ke bawah bukit setinggi kira-kira lima meter dan pengsan sebelum
dia dikejarkan ke HTAR," katanya.
Menurut Azizul, pensyarah wanita berumur 58 tahun yang memandu kenderaan
tersebut difahamkan mengalami sakit kepala sebelum kejadian itu,
menyebabkan beliau gagal mengawal kereta tersebut.
"Pensyarah itu kini sedang mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta
di sini untuk pemantauan lanjut daripada doktor," katanya.
Sementara itu, jenazah Fatin Farradia difahamkan akan dibawa pulang ke
kampung halamannya di Dungun, Terengganu selepas proses bedah siasat
selesai.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Azisman Alias ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.- Bernama
1 ulasan:
bukan dilanggar... terlanggar....
Catat Ulasan