Roketkini.com
KULAI: Sudah tiba
masanya Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Wahid Omar
menerangkan kepada rakyat apa yang dicapai dalam mesyuarat dua hala
bersama Singapura berhubung isu ‘perang’ kenaikan tol.
Adun DAP Senai Wong Shu Qi berkata, kini hanya tinggal
sepuluh hari untuk Wahid menyelesaikan krisis ini atau menghadapi
kerosakan teruk terutama kepada ekonomi negeri akibat tindakan semberono
mereka.
“Beliau yang bertanggungjawab sebagai perancang ekonomi.
Beliau perlu menjelaskan kepada orang ramai apa yang telah dicapai atau
yang sedang diusahakan untuk mencapai persetujuan dalam mesyuarat dua
hala.
“Wahid diarahkan untuk mengetuai delegasi Malaysia
berunding dengan rakan-rakan Singapura, jadi saya cadangkan beliau
sekurang-kurangnya memberitahu mengenai matlamat utama kerajaan BN.
“Inilah saatnya untuk beliau bertemu rakyat dari semua lapisan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu Shu Qi yang juga Pengarah Dasar DAP Johor
menyatakan pihaknya secara sukarela bersedia membantu Wahid
menyelesaikan desakan bagi peningkatan khidmat pengangkutan awam dan isu
lain yang tercetus akibat kenaikan tol di CIQ.
Jelasnya, terdapat empat objektif yang harus dicapai bagi mengurangkan beban rakyat.
“Wahid mesti mengarahkan MRCB menyediakan RM1 juta sebulan
bagi bas ulang-alik percuma antara Kompleks CIQ Johor Bahru dan Pusat
Pemeriksaan Woodlands.
“Kedua, mencadangkan kepada Singapura bahawa kedua-dua
negara harus membuka laluan pejalan kaki di Tambak masing-masing untuk
mengurangkan kesesakan lalu lintas.
“Ketiga, memantau projek landasan berkembar dari Gemas ke
Johor Bahru untuk memastikan ia disiapkan pada 2015 dan melaksanakan
sistem KTM Komuter,” ujarnya.
Wahid turut dicadangkan memulakan semula perbincangan
antara kedua-dua negara untuk memudahkan proses imigresen bagi warga
yang setiap hari berulang alik bekerja dari Johor Bahru ke Singapura.
Keputusan Kerajaan BN untuk mula mengenakan caj EDL di
Kompleks CIQ kini telah menyebabkan Singapura mengambil langkah untuk
turut sama meningkatkan bayaran tol berkuatkuasa 1 Oktober ini.
“Perang kenaikan tol ini secara tidak langsung juga akan
mengakibatkan kos perjalanan pergi balik bagi kereta meningkat kepada
kira-kira RM33 hanya untuk menyeberangi Tambak yang berjarak 1.7
kilometer,” kata Shu Qi. -Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan