MALASIAKINI
Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memutuskan untuk menarik diri dari pencalonan sebagai menteri besar Selangor.
Katanya, beliau menerima dengan hati yang terbuka keputusan yang telah
dibuat oleh Sultan Selangor yang memperkenankan pelantikan Timbalan
Presiden, Azmin Ali sebagai menteri besar Selangor yang baru.
Berikut adalah kenyataan penuh Wan Azizah:
Saya menerima dengan hati yang terbuka keputusan yang telah dibuat oleh
Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Selangor yang memperkenankan YB Tuan
Mohamed Azmin Ali, Timbalan Presiden KEADILAN sebagai Menteri Besar
Selangor yang baru.
Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada 29 ahli Dewan Negeri
Selangor dari KEADILAN, DAP dan PAS yang telah memberikan sokongan
kepada saya sejak 14 Ogos 2014 dan membolehkan Pakatan Rakyat kekal
sebagai kerajaan di Selangor. Saya menghargai kesepakatan 29 ahli Dewan
Negeri Selangor ini yang meletakkan kepentingan menjaga mandat rakyat
mengatasi kepentingan peribadi mereka.
Atas semangat itu, saya telah membuat keputusan untuk menarik diri dari
pencalonan sebagai Menteri Besar Selangor. Saya telah mencadangkan
kepada Majlis Pimpinan Pusat (MPP) agar YB Tuan Mohamed Azmin Ali, Ahli
Dewan Negeri Kawasan Bukit Antarabangsa diangkat sebagai calon Menteri
Besar Selangor. Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang bermesyuarat pada hari
ini telah juga sebulat suara bersetuju dengan cadangan itu.
Saya mengambil keputusan ini demi kepentingan rakyat atas kesedaran
bahawa krisis ini perlu diselesaikan secepat mungkin. Saya yakin bahawa
KEADILAN telah kekal mempertahankan prinsip demokrasi raja
berpelembagaan. Walaupun proses perlantikan ini pada hemat saya tidak
menepati peruntukan Undang-undang Tubuh Negeri Selangor, saya percaya
tumpuan perlu dikembalikan kepada usaha membela rakyat di Selangor.
Oleh itu, saya telah menyatakan pandangan saya kepada pimpinan parti
mengenai beberapa program khusus yang perlu dilaksanakan oleh Kerajaan
Negeri untuk mengangkat martabat dan kebajikan rakyat Selangor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan