KUALA TERENGGANU: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengucapkan
tahniah kepada Muhamed Azmin Ali atas pelantikannya sebagai Menteri
Besar Selangor yang baharu.
Abdul Hadi turut mengingatkan supaya beliau menjalankan amanah yang
dipikul dengan sebaik-baiknya dan tidak boleh disalahgunakan.
"Jadi kita harap supaya Azmin dapat jalankan tugas dengan penuh amanah
dan tidak menyalahgunakan kuasa dan harta Selangor," katanya ketika
ditemui di sini, hari ini.
Sementara itu, di Tumpat, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali
berkata, PAS menyifatkan pelantikan Azmin sebagai penamat kepada segala
masalah dan kemelut membelenggu Pakatan Rakyat berkenaan jawatan itu
sebelum ini.
Katanya, parti itu juga mengalu-alukan pelantikan Mohamed Azmin untuk
menerajui kerajaan negeri selaras dengan perkenan Sultan Selangor,
Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Katanya, tidak ada lagi perkara berbangkit daripada parti itu berhubung
pelantikan Mohamed Azmin termasuk keperluan untuk PAS mengadakan semula
mesyuarat.
"Dalam PAS apa saja yang diputuskan oleh istana, kita setuju. Semuanya (sayap PAS) termasuk Dewan Ulama setuju.
"Sebelum ini, mesyuarat kita pada 17 Ogos lalu pun sudah bersetuju dua
nama dipertimbangkan iaitu Mohamed Azmin dan Datin Seri Dr Wan Azizah
Wan Ismail, jadi tidak ada keperluan untuk itu (adakan mesyuarat),"
katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media di Markas Besar PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pengkalan Kubor, di sini.
Naib
Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pula meminta semua pihak
mematuhi perkenan baginda Sultan Selangor berkenaan pelantikan itu serta
mengharapkan Mohamed Azmin dapat menerajui kerajaan negeri dengan
jayanya.
Menyentuh mengenai tindakan kepada dua Ahli Dewan Undangan Negeri
(ADUN) PAS Selangor yang sebelum ini menyokong Wan Azizah, Mustafa
berkata jawatankuasa disiplin parti itu masih lagi menyiasat dan beliau
sendiri akan memanggil kedua-duanya dalam masa terdekat.
"Setakat ini memang tak ada apa-apa tindakan lagi, lepas ini saya akan
panggil. Lambat, cepat ini atas persepsi orang saja," katanya menjawab
soalan media berkenaan kelewatan jawatankuasa disiplin parti itu
mengambil tindakan ke atas dua ADUN itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan