Selasa, 23 September 2014

Azmin akan manfaatkan rizab tunai RM3 bilion

MALAYSIAKINI


 


Dalam ucapan sulungnya selepas dilantik sebagai menteri besar Selangor yang baharu, Azmin Ali berikrar untuk memanfaatkan rizab tunai RM3 bilion dalam perbendaharaan negeri Selangor untuk "manfaat rakyat Selangor".

Menurut Azmin, beliau tidak mahu rizab itu kekal di atas kertas semata-mata.

"Setiap sen dana negeri Selangor adalah milik rakyat dan bukan milik pemimpin.

"Cara saya dana itu bukan di atas kertas tetapi diterjemahkan kepada program yang dapat memberi manfaat kepada rakyat Selangor," katanya dalam ucapan di hadapan rumah ibunya di Kampung Klang Gate Baru, Hulu Kelang, tengah hari ini.

Dalam ucapan sama, Azmin berikrar untuk menjalankan tugas secara turun padang dengan mendekati sendiri masalah penduduk Selangor.

"Banyak kerja yang tertangguh selama dua bulan ini.

"Cara kerja saya bukan dengan tie (tali leher) dan kot tetapi dengan lengan pendek dan seluar panjang... turun ke daerah untuk mendengar sendiri masalah rakyat dan selesaikan semuanya," katanya.

Terus masuk pejabat

Beliau memaklumkan orang ramai yang beliau akan terus ke pejabat menteri besar pada petang ini juga untuk membincangkan pelantikan exco yang akan diumumkan pada hari Jumaat ini.

"Saya juga akan masuk ke pejabat petang ini untuk berbincang tentang barisan exco yang baru," katanya.

Beliau turut berhasrat meningkatkan imej penjawat-penjawat awam Selangor untuk lebih dikenali sebagai penjawat awam yang cekap apabila bekerja dalam satu pasukan.

"Saya akan mengangkat martabat penjawat awam di negeri Selangor sebagai pasukan yang boleh menjalankan tanggungjawab secara kolektif," katanya dalam ucapan di hadapan kira-kira 300 orang hadirin.

Hadirin yang hadir rata-ratanya kelihatan ceria walaupun cuaca panas terik.

Mereka menghadiri kenduri kesyukuran yang diadakan di perkarangan rumah ibu Azmin, Che Tom Yahya di Kampung Klang Gate Baru, Ulu Klang.

Terdahulu, beliau berikrar untuk terus melaksanakan tanggungjawabnya sebagai menteri besar baru dalam mengekalkan keharmonian di Selangor bermula hari ini.

Imamkan 300 orang

Beliau berkata demikian dalam ucapan ringkas selepas mengimamkan solat Zuhur berjemaah di masjid berhampiran rumah ibunya, Masjid Kampung Klang Gate Baru, Hulu Kelang pada jam 1.25 tengah hari tadi.

"Amanah ini bukan satu keistimewaan tetapi tanggungjawab yang cukup besar untuk mengangkat martabat orang Melayu-Islam khususnya.

"Saya harap dengan dokongan tuan-tuan saya dapat jalankan tanggungjawab ini dengan jujur dan ikhlas kerana akhirnya saya perlu menjawab pada Allah Taala.

"Jadi saya berharap sekarang adalah waktu untuk kita mula bekerja.

"Saya juga telah menerima akujanji dengan Tuanku Sultan Selangor untuk menjaga keharmonian di negeri ini," katanya dalam ucapan tersebut di hadapan kira-kira 300 orang menyertai solat Zuhur berjemaah diimamkan Azmin.

Satu kenduri kesyukuran menyambut pelantikan Azmin sebagai MB akan berlangsung pada bermula jam 2.30 petang ini di kediaman ibunya di kampung yang sama.

Azmin mengangkat sumpah sebagai MB baharu menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim di Istana Alam Shah Klang, pagi tadi.

Tiada ulasan: