MALAYSIAKINI
Setelah dilihat agak lama membisu dalam isu kemelut menteri besar
Selangor, Pengerusi BN Selangor Datuk Seri Noh Omar muncul bersama
ratusan rakyat Selangor memberi sokongan kepada sultan.
Beliau bersama lebih 500 rakyat mewakili 18 badan bukan kerajaan (NGO)
berkumpul dengan berpakaian kuning di Seksyen 16 Shah Alam hari ini
dalam Himpunan Menjunjung Kasih Sultan Selangor melafazkan ikrar taat
setia kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam pemilihan menteri
besar.
Noh berkata BN tidak boleh lagi berdiam diri apabila sultan
dipertikaikan oleh pihak pembangkang dalam melaksanakan hak baginda
memilih peneraju negeri itu.
“BN bangkit apabila institusi diraja dicabar dan tidak dihormati dan
akan terus berjuang sekiranya selepas majlis angkat sumpah menteri besar
baharu mendapat tentangan pihak tidak berpuas hati dengan pilihan
sultan.
“Kita kena sokong siapa sahaja yang diperkenan sultan, jika ada
mana-mana pihak yang mempertikaikan keputusan tuanku selepas Selasa ini
dan juga cuba gugat kestabilan Selangor kerana tidak puas hati dengan
keputusan dibuat Tuanku maka BN tidak akan berdiam diri kita akan bangun
dan terus berdiri teguh di belakang tuanku,” katanya dalam himpunan
yang dianjurkan oleh gabungan NGO yang diberi nama “Gerak Daulat” itu,
Noh menafikan BN sebelum ini memberi sokongan kepada Tan Sri Abdul
Khalid Ibrahim atau mana-mana individu untuk membentuk kerajaan
perpaduan sebaliknya hanya menyokong usaha Khalid bekerjasama dengan
Kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan masalah air di negeri ini.
Malah beliau menjelaskan BN tidak mempunyai apa-apa kepentingan dalam
pentadbiran dan hanya mahu krisis ini diselesaikan segara dengan akur
kepada keputusan sultan agar tidak menyusahkan rakyat sendiri.
Ini termasuk sebarang bantahan atau rancangan membubarkan Dewan Undangan
Negeri (DUN) selepas lantikan menteri besar baru Selasa ini
“Sesiapapun dilantik kita tetap jadi pembangkang dan buat kerja sebagai pembangkang, terima sepenuhnya pilihan tuanku.
“Diharapkan semua rakyat dan parti politik akur dan terima dengan keputusan tuanku.
“Bubar DUN..kita tak mahu fikir sekarang. Kita harap lepas Selasa
kemelut ini akan selesai, banyak kerja nak buat, Selangor mesti ditadbir
dengan baik demi rakyat,” katanya.
Pakatan Rakyat dilihat tidak bersatu hati dalam krisis ini apabila PKR
tetap mahukan presidennya Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dilantik
sebagai menteri besar.
PAS pula dilaporkan menghantar nama ADUN mereka sendiri kepada istana
setelah presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang secara terbuka tidak
setuju dengan pilihan Wan Azizah menggantikan Khalid.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan