MALAYSIAKINI
Siaran langsung proses pengiraan undi mana-mana pilihan raya kecil (PRK)
masih belum sesuai untuk dilaksanakan buat masa sekarang, kata
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.
Beliau berkata siaran langsung hanya boleh dilakukan apabila calon
pilihan raya, parti politik dan masyarakat Malaysia mencapai tahap
kematangan dalam berpolitik, supaya SPR tidak dipersalahkan jika berlaku
insiden tidak diingini pada siaran itu.
"Wakil calon bertanding dibenarkan berada dalam bilik semasa proses
pengiraan dilakukan, dan dibimbangi jika berlaku insiden seperti
pertengkaran kecil atau salah faham, ia akan mengundang masalah lebih
besar dalam kalangan orang luar yang menonton.
"Mereka mungkin melihat perkara itu dari perspektif berbeza, hanya apa
yang disiarkan di televisyen, namun perkara ini kemudiannya
diperbesarkan pihak berkenaan sehingga menjadi isu kepada SPR," katanya
kepada Bernama di Kuala Lumpur, hari ini.
SPR juga bimbang jika ada pihak yang mengambil kesempatan daripada
siaran langsung itu untuk mendapatkan perhatian masyarakat dengan
'mengada-adakan' perkara yang tidak wujud semasa proses pengiraan
berlaku, tambahnya.
Abdul Aziz berkata pihaknya juga perlu memastikan cara terbaik untuk
pihak media menyiarkan siaran langsung itu memandangkan kamera masa kini
dilengkapi kemudahan zum, sedangkan kertas undi merupakan suatu perkara
yang sangat sulit.
"Kita juga perlu memikirkan bagaimana pergerakan kakitangan media dalam
bilik mengira undi, kerana pelbagai perkara di luar kawalan boleh
berlaku semasa siaran langsung dalam keghairahan memberikan laporan
terbaik," katanya.
Sehubungan itu, Abdul Aziz menegaskan siaran langsung itu hanya boleh
dilakukan apabila semua pihak mengamalkan politik matang dan memahami
tanggungjawab masing-masing.
"SPR tidak ada masalah untuk siaran langsung, malah sangat
mengalu-alukannya untuk menunjukkan ketelusan kita, namun tidak mahu ia
menjadi seperti senjata makan tuan dan keterbukaan itu akhirnya
dijadikan isu kepada kami," katanya.
Beliau menambah bagi merealisasikan hasrat itu di masa hadapan, SPR
bersedia untuk berbincang dengan Jabatan Peguam Negara dan pihak
berkenaan bagi memperhalusi protokol dan tatacara perlaksanaan siaran
langsung itu.
Buat masa sekarang, Abdul Aziz memberitahu semua proses pengundian PRK –
dari peringkat penamaan calon sehingga ke pengiraan undi - dirakamkan
pegawai Filem Negara di bawah seliaan pegawai SPR agar ia tidak
melanggar isu kerahsiaan pengundian.
Hari ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery
Cheek dilaporkan memohon supaya SPR mempertimbangkan semula cadangan
kementerian itu supaya proses pengiraan undi mana-mana PRK disiarkan
secara langsung menerusi Radio dan Televisen Malaysia (RTM).
Langkah itu akan membolehkan seluruh rakyat Malaysia menyaksikan proses
penuh pilihan raya yang dijalankan dengan telus dan adil, tambah Ahmad
Shabery.
Ahmad Shabery pernah mengutarakan cadangan itu pada PRK Dewan Undangan
Negeri (DUN) Kuala Besut pada tahun lalu, namun ditolak SPR atas alasan
ia melibatkan kerahsiaan pengundian.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan