MALAYSIAKINI
Semua pihak harus akur dengan pemilihan calon Menteri Besar Selangor
yang baru oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi
mengelak krisis politik berpanjangan di negeri itu, kata bekas Perdana
Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed.
Beliau berkata pemilihan Sultan Selangor perlu diterima semua pihak
terutamanya Pakatan Rakyat ekoran kegagalan mereka mengemukakan calon
tunggal Menteri Besar Selangor yang disokong oleh semua.
"Mereka tidak dapat membuat kata putus bersama untuk mengemukakan satu
calon... sebab itu Sultan meminta dua tiga calon dan terpulang pada
Sultan untuk memilih sesiapa dan saya harap semua pihak akan bersetuju,"
katanya.
Dr Mahathir berkata sekiranya terdapat usul tiada kepercayaan dibawa di
persidangan Dewan Undangan Negeri Rakyat yang menyebabkan menteri besar
yang dipilih itu 'jatuh', ia hanya memanjangkan masalah di negeri itu.
"Berpanjangan masalahnya dan lebih baik mereka sokong siapa yang akan
dicalonkan sebagai menteri besar," katanya kepada media selepas
melancarkan projek pembangunan bercampur Shapadu Putrajaya Haven di
Putrajaya hari ini.
Ditanya adakah pemilihan menteri besar oleh Sultan Selangor menunjukkan
pencabulan demokrasi dalam Parlimen, Dr Mahathir berkata :"Demokrasi
adalah mengikut suara ramai, kali ini tiada suara ramai jadi terpaksa
pihak seperti presiden membuat keputusan.
"Kalau ada satu calon yang disokong penuh oleh semua, maka tidak ada
kemungkinan usul tiada kepercayaan, malah satu nama dah cukup," katanya.
Majlis Angkat Sumpah Menteri Besar Selangor baru bagi menggantikan Tan
Sri Abdul Khalid Ibrahim akan diadakan esok di Istana Alam Shah, Klang.
Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani berkata nama
menteri besar yang baru bakal diumumkan hari ini bergantung kepada
perkenan Sultan Sharafuddin.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan