MALAYSIAKINI
Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985 atau
dikenali sebagai DDA 1985 digubal pada tahun 1985 dengan tujuan untuk
menangani jenayah dadah berbahaya.
DDA 1985 digubal bawah Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan, iaitu kuasa
yang membenarkan Parlimen membuat undang-undang tanpa perlu patuh
kepada prinsip kebebasan asasi yang terkandung dalam Perkara 5,9,10 dan
13 demi menjaga keselamatan awam.
Menurut laporan Agensi Anti Dadah Kebangsaan, pada tahun 2013, seramai 813 orang telah ditahan di bawah DDA 1985.
Seksyen 1(3) DDA 1985 menyatakan akta ini memiliki tamat tempoh (sunset clause) iaitu setiap lima tahun sekali.
Bermula daripada tarikh akta ini diwartakan, ia perlu diperbaharui
setiap lima tahun sekali. Seksyen 1(4) pula menyatakan Parlimen perlu
memutuskan sama ada ingin meneruskan atau membiarkan akta ini terluput
dengan sendirinya.
Jun 2015 akan menjadi tarikh luput bagi DDA 1985 setelah akta tersebut diperbaharui pada tahun 2010.
Oleh itu Suaram berharap kerajaan Malaysia dan ahli Parlimen dapat
membuat penilaian yang sewajarnya bagi memastikan akta ini tidak lagi
disambung hayat sekaligus berhenti mencabuli hak asasi manusia.
Mengapa DDA perlu dimansuh?
1. DDA 1985 cabul hak asasi manusia
Hak asasi nanusia merupakan tonggak penting dalam Perlembagaan
Persekutuan. Hak-hak ini diperuntukkan dalam bahagian kebebasan asasi
iaitu Perkara 5 hingga 13.
Penafian perkara-perkara ini menyebabkan individu yang ditangkap bawah DDA 1985 boleh ditahan tanpa dibicarakan.
Malah seseorang itu boleh ditangkap secara arbitrari tanpa waran dan tanpa diberitahu sebab-sebab tangkapan.
Setelah ditangkap, individu tersebut boleh ditahan sehingga 60 hari
mengikut Seksyen 3(2) DDA 1985 tanpa perlu mendapatkan reman mahkamah
terlebih dahulu.
Apa yang lebih penting ialah, individu yang ditahan bawah DDA 1985 akan
hilang hak untuk mendapat pembelaan yang adil di mahkamah.
Seksyen 6 DDA 1985 memberi kuasa kepada menteri untuk mengeluarkan
perintah tahanan atau perintah sekatan tanpa perlu orang yang ditahan
dibicarakan di mahkamah.
Ini bermaksud, DDA 1985 telah mematikan fungsi mahkamah dan fungsi tersebut telah diambil alih oleh menteri.
Oleh itu, boleh dikatakan DDA 1985 telah menyebabkan seseorang itu dihukum tanpa dibuktikan bersalah oleh mahkamah.
Perkara seperti ini sepatutnya tidak boleh berlaku lagi dalam sebuah negara yang menjulang perlembangaan dan demokrasi.
2. DDA tak kurangkan kesalahan
Sejak tahun 2008 sehingga 2013, statistik yang dikeluarkan oleh Agensi
Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menunjukkan bilangan yang ditangkap bawah
kesalahan dadah berbahaya terus meningkat.
Pada tahun 2011, jumlah pesalah yang ditangkap bagi kesalahan Dadah Berbahaya adalah seramai 111, 719 orang.
Manakala jumlah tangkapan meningkat pada tahun 2012 menjadi 116, 740
orang. Pada tahun 2013, Jumlah tangkapan terus meningkat dengan
menyaksikan seramai 129, 250 ditangkap.
Peningkatan secara berterusan ini menunjukkan DDA 1985 gagal menjadi
mekanisme yang berkesan dalam menangani kesalahan dadah berbahaya di
Malaysia.
3. Tiada transparensi cara siasatan polis
Menurut peruntukkan bawah DDA 1985, seseorang yang ditangkap boleh ditahan selama 60 hari bagi tujuan siasatan.
Bagaimanapun, bentuk siasatan yang dijalankan oleh pihak Polis dalam tempoh ini masih tidak jelas.
Bentuk siasatan yang tidak jelas ini menimbulkan kerisauan tentang
bagaimana sebenarnya operasi standard pihak polis dalam menjalankan
siasatan.
Kerisauan ini timbul ekoran fakta-fakta yang pernah direkodkan oleh bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Seperti DDA 1985, ISA juga memberi kuasa kepada pihak polis untuk menahan seseorang selama 60 bagi tujuan siasatan.
Berdasarkan testimoni yang diperoleh daripada bekas tahanan ISA, dalam
tempoh 60 hari tersebut terdapat dalam kalangan mereka yang diseksa oleh
pihak polis bagi memaksa mereka membuat pengakuan.
Menurut laporan Malaysiakini bertarikh 18 Jun 2012 yang bertajuk “Nota Mengharukan dari Kamunting”,
antara bentuk seksaan yang pernah dialami tahanan ISA termasuklah
dibogelkan, dipukul beramai-ramai, kemaluan dicucuh api rokok dan
seluruh badan dilumur dengan cili boh.
Oleh itu adalah dikhuatiri jika perkara yang sama berlaku terhadap
tahanan DDA 1985 kerana bentuk siasatan Polis tidak pernah didedahkan
kepada umum.
4. Undang-undang lain lebih komprehensif
Pihak Polis sering beralasan bahawa sukar untuk mendapatkan bukti untuk
mensabitkan seseorang itu dengan jenayah dadah berbahaya kerana pesalah
licik untuk menyelamatkan diri.
Oleh itu undang-undang tahan tanpa bicara perlu digunakan.
Namun alasan ini tidak wajar digunakan untuk merasionalkan pencabulan
hak asasi kerana sudah menjadi tanggungjawab pihak polis untuk melakukan
siasatan terperinci.
Apakah pihak polis cuba mengatakan institusi polis di Malaysia tidak
mampu menjalankan siasatan walaupun sudah memiliki kelengkapan yang
cukup baik?
Dalam masa yang sama, wujud undang-undang lain yang lebih komprehensif
dalam menangani kesalahan dadah yang mengguna pakai Seksyen 117 Kanun
Prosedur Jenayah.
Hal ini menyebabkan hak-hak orang yang ditahan akan sentiasa terjaga
seperti hak untuk tidak ditahan melebihi tempoh reman 14 hari.
Apa yang lebih penting ialah, orang yang ditangkap di bawah
undang-undang yang lain akan berpeluang untuk membela diri di Mahkamah.
Tuntutan
Berdasarkan justifikasi yang telah diberikan di atas, maka kami mengusulkan tuntutan berikut:
1. Mansuhkan DDA
Kerajaan Malaysia perlu memansuhkan DDA 1985 dengan cara tidak membentangkan usul pelanjutan akta tersebut di Parlimen.
Dengan cara ini DDA 1985 akan secara automatik termansuh dengan sendirinya.
Sekiranya kerajaan tetap ingin membentang usul pelanjutan DDA 1985, maka
kami menuntut seluruh ahli parlimen tidak bersetuju dengan usul
tersebut.
2. Bebaskan tahanan DDA
Semua tahanan DDA 1985 perlu dibebaskan dan disiasat menggunakan undang-undang yang lebih adil dan patuh hak asasi manusia.
Selain Suara Rakyat Malaysia (Suaram), pendirian dalam artikel ini turut
dikongsi sebelas lagi badan, iaitu: Kuala Lumpur & Selangor Chinese
Assembly Hall Youth Section (KLSCAH Youth), Persatuan Komuniti Prihatin
Selangor & KL, Lawyer For Liberty (LFL), Pertubuhan Ikram Malaysia
(IKRAM), Lensa Anak Muda Malaysia (LENSA), Solidariti Anak Muda Malaysia
(SAMM), Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER), Solidariti
Mahasiswa Malaysia (SMM), Kelab Bangsar Utama (KBU), Jaringan Rakyat
Tertindas (JERIT) dan Malaysia Youth and Student Democratic Movement
(DEMA).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan