Khamis, 17 Julai 2014

UiTM bayar dua kali ganda caj penyenggaraan – Rafizi

Oleh: Nadia Hanafi


KUALA LUMPUR: Universiti Teknologi Mara (UiTM) membayar dua kali ganda lebih mahal bagi khidmat penyelenggaraan kepada syarikat pemegang konsesi, kata Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli.

Menurutnya, perjanjian konsesi UITM menetapkan bayaran RM1.05 setiap kaki persegi di mana bayaran biasa hanya antara 50 sen hingga 60 sen sekaki.

“Ini bermakna, UiTM terpaksa membayar dua kali ganda lebih mahal bagi khidmat penyenggaraan di bawah penswastaan kepada syarikat pemegang konsesi berbanding dengan kos yang ditanggung sedia ada,” katanya.

Jelasnya, kelengkapan di beberapa kampus tidak dibina mengikut keperluan pengajaran menyebabkan Uitm terpaksa mengeluarkan belanja tambahan untuk membolehkan kampus digunakan.

“Ada dakwaan beberapa banggunan kampus UITM cawangan Jasin tidak mempunyai soket elektrik yang secukupnya.

“Ini kerana tidak termasuk di dalam spesifikasi perjanjian konsesi sehingga menyukarkan ia digunakan sepenuhnya oleh tenaga pengajar UITM,” katanya dalam satu sidang media di National Oversight & Whistleblowers Centre (NOW).

Tambahnya lagi, perjanjian konsesi UITM itu turut mempunyai klausa pembayaran tetap (Availability Charges) seperti di dalam perjanjian konsesi penjana bebas(IPP) yang pernah menjadi kontroversi.

“Dengan adanya klause yang sama dalam konsesi UITM ini menimbulkan kebimbangan dari dalam UITM sendiri bahawa pembayaran tetap ini sudah tentu menjadi masalah dari segi kewangan,” ulasnya.

Kenyataan-kenyataan Menteri Jabatan Perdana Menteri,  Datuk Paul Low dan Datuk Nur Jazlan Mohamad  membayangkan mereka bersetuju penswastaan kampus UITM pada harga tinggi akan merugikan negara.

Justeru itu, Rafizi juga mendesak agar kabinet mengambil nasihat kedua-dua mereka agar perjanjian konsesi UITM didedah kepada umum.

Katanya, ini untuk membuktikan konsesi UITM ini tidak merugikan UITM seperti didakwa Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin

Tiada ulasan: