Ahad, 13 Julai 2014

Sejauh mana kesungguhan kerajaan dalam kempen ‘pemisahan sampah’?

shuqi


Roketkini.com


JOHOR BAHRU: Pengarah Dasar DAP Johor Wong Shu Qi mempersoalkan sama ada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan sudah berusaha bersungguh-sungguh dalam mempromosikan ‘pemisahan sampah’ kepada orang ramai.

Ini berikutan tindakan Menterinya, Datuk Abdul Rahman Dahlan, yang tetap berkeras ingin meneruskan pembinaan insinerator, dengan alasan orang ramai enggan mengasingkan sampah di rumah mereka.

“Pertamanya, Abdul Rahman perlu jawab sama ada kementeriannya telah pun mencuba semua cara dalam mempromosikan amalan pemisahan sampah kepada orang ramai, serta mengapa kesedaran tentangnya masih di tahap rendah.

“Saya yakin ramai akan bersetuju bahawa kerajaan tidak bersungguh-sungguh dalam mempromosikannya,” katanya dalam satu kenyataan.

“Ketika kebanyakan rakyat tidak menyedari bahawa adanya kempen ‘pemisahan sampah’, tentulah mengarut untuk beliau berkata ‘sampai bila kita perlu tunggu sehingga rakyat belajar untuk mengamalkan budaya kitar semula’,” katanya lagi.

Beliau membangkitkan jawapan parlimen Abdul Rahman sebelum ini, bahawa arahan untuk kontraktor memisahkan sampah hanya bermula 1 September ini, manakala tindakan mewajibkan pemisahan sampah di sumber (seperti kediaman) sekali lagi ditangguhkan sehingga September 2015.

Hakikatnya, langkah bagi memastikan orang ramai memisahkan sampah sudah dirancang sejak Februari 2011, namun beberapa kali ditangguh sehingga kini.

Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri Senai itu berkata, bagi membolehkan proses kitar semula, sampah pejal perlu diasingkan terlebih dahulu dengan sisa makanan.

“Namun, kita tidak pernah melaksanakan pengumpulan sisa makanan mahu pun mengkaji kitar semula sisa itu, walaupun 45 peratus sampah yang dikutip pihak berkuasa tempatan adalah sisa makanan,” katanya lagi.

Mengapa insinerator di kawasan tiada sampah?

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan tindakan kerajaan memilih Bukit Payung di Batu Pahat sebagai lokasi untuk membina insinerator, memandangkan sampah yang dihasilkan di kawasan sekitarnya adalah kurang.

Beliau membandingkan keputusan itu dengan kenyataan Abdul Rahman dua hari lalu, bahawa kerajaan tidak memilih Putrajaya sebagai insinerator kerana bandar pentadbiran itu tidak mengeluarkan banyak sampah.

“Jawapan itu pasti membuatkan warga Johor tertanya-tanya mengapa Bukit Payung dipilih, sedangkan jelas lebih banyak sisa pejal dikeluarkan di bahagian selatan negeri.

“Jika bandar tahap dua (second-tier) seperti Batu Pahat menghasilkan banyak sisa sehingga memerlukan insinerator, maka bandar tahap pertama seperti Johor Bahru tentunya menghasilkan sisa dengan lebih banyak.

“Maka, adakah wujud perancangan untuk membina lebih banyak insinerator di sini? Kerajaan perlu beri penjelasan kepada rakyat berhubung perkara ini,” katanya lagi. -Roketkini.com

Tiada ulasan: