Rabu, 23 Julai 2014

MH17: Kerajaan ambil langkah berhati-hati, tak mahu hasil siasatan dihebahkan - Najib

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar & Nurshakira Buang

 
Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Tidak kesemua tindakan kerajaan berhubung tragedi MH17 perlu dihebahkan, demikian menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak.
 
Apa yang penting adalah hasil dan dapatan daripada siasatan yang dijalankan oleh pasukan khas yang terdiri daripada pegawai-pegawai teknikal, kumpulan perubatan dan pihak keselamatan ke kawasan bencana tersebut.
 
"Dengan izin "sometimes we must work quitely in the service of a better outcome" yakni adakalanya kita mesti bekerja secara senyap dalam perkhidmatan demi mendapatkan keberhasilan yang lebih baik, terutama ketika berhubung dengan ketua kumpulan pemisah. 
 
"Dengan nawaitu dan hasrat murni bagi memastikan mangsa-mangsa dapat dikembalikan serta diberi penghormatan untuk disemadikan, meskipun masanya sudah berlalu," katanya di Sidang Khas Dewan Rakyat ketika membentangkan usul mengenai tragedi malang yang menimpa MH17 17 Julai lalu.
 
Najib seterusnya mendesak Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa ICAO mengeluarkan resolusi mengutuk sekeras-kerasnya serangan ke atas pesawat tersebut sebagaiman yang turut dilakukan terhadap pesawat lain.
 
Malah kerajaan Malaysia turut menuntut kerajaan Ukraine bertanggungjawab menjalankan siasatan, selain kerjasama siasatan oleh badan bebas antarabangsa.
 
"Saya juga telah mengarahkan Peguam Negara mengkaji perkara ini dengan mendalam dan teliti, bagi memastikan sebarang tindakan yang akan diambil oleh Malaysia kelak, berlandaskan undang-undang antarabangsa yang terpakai dalam hal begini.
 
"Kita menggesa penyiasatan dilakukan oleh sebuah pasukan bebas bagi menyiasat punca pesawat MH17 terhempas. Beberapa persoalan yang inginkan jawapan seperti adakah ia ditembak dengan peluru berpandu, angkara siapa, siapa bekalkan senjata, apa motif mereka sebenarnya ," ujarnya.
 
Sehubungan itu, Najib mahu kesemua rakyat Malaysia memperkukuhkan solidariti dan semangat perpaduan tanpa mengira latar belakang agama, kaum dan fahaman politik.
 
"Janganlah kita membuat spekulasi yang boleh mengaibkan mangsa dan keluarga mereka. Ini bukan masanya kita berwenang-wenang di sosial media menceritkan sesuatu yang barangkali faktanya tidak tepat atau tidak sahih," demikian menurut Najib.
 
Usul berkenaan telah disokong oleh Ahli Parlimen Cameron Highland, Datuk Seri Dr G. Palanivel.
 
Sementara itu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerajaan memastikan tidak ada kuasa besar yang menjadi dalang terhadap tragedi tersebut sengaja diselindungi tanpa diseret ke muka pengadilan.
 
"Saya merasa terkesan dengan kejadian yang menimpa pesawat negara kita. Semestinya tindakan rundingan ini mengundang kontroversi namun saya menyokong tindakan PM mengadakan rundingan secara peribadi demi menjaga keperihatinan rakyat yang terkorban.
 
"Tiada jalan mudah untuk merujuk kepada kumpulan pemberontak tersebut, tetapi kita harus beri penekanan apakah langkah yang akan diambil terhadap pihak yabg bertanggungjawab," katanya sebagai menyokong usul perdana menteri itu.
 
Pesawat Malaysia Airline Penerbangan MH17, yang membawa 283 penumpang dan 15 krew, sedang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ia terhempas di Donetsk, di timur Ukraine Khamis lalu, dipercayai ditembak menggunakan peluru berpandu dari darat ke udara.
 
Pada Isnin, Malaysia memperoleh persetujuan bagi membawa keluar mayat penumpang dan kotak hitam penerbangan MH17 dan juga bagi para penyiasat antarabangsa mendapat laluan selamat ke tapak nahas di timur Ukraine.
 
Puak pemisah pro-Rusia di timur Ukraine dilaporkan telah menyerahkan kedua-dua kotak hitam itu yang dijumpai di tapak nahas kepada pasukan penyiasat Malaysia semalam.

Tiada ulasan: