Mustafa Ali  
Mustafa Ali
 
 
PETALING JAYA - Kerajaan Malaysia didesak melancarkan protes ke atas serangan Israel terhadap penduduk Palestin khususnya negara yang menyokong dan bersengkongkol dengan kekejaman itu.
 
Majlis Setiausaha Agung PR yang bermesyuarat hari ini sebulat suara mencapai kesepakatan itu dan mendesak kerajaan supaya menghentikan serta-merta semua perbincangan mengenai perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP).
 
"Kekejaman Israel itu berlaku dengan sokongan pada Amerika Syarikat (AS).
 
"Oleh itu PR juga mendesak kerajaan Malaysia supaya tidak menandatangani perjanjian tersebut sebagai tanda protes terhadap AS," kata Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali kepada pemberita di ibu pejabat PKR, di sini, hari ini.
 
Sehingga kini, serangan udara tentera Israel telah mengakibatkan pembunuhan lebih 150 penduduk Palestin di Semenanjung Gaza termasuk orang awam dan kanak-kanak.
 
Mengulas lanjut, Mustafa berkata pihaknya tidak membincangkan soal mahu memboikot produk keluaran Israel di negara sebagai tanda protes tersebut.
 
"Kita tidak bincang soal boikot barang Israel hari ini," katanya lagi.

Mengulas lanjut, Mustafa juga berkata, pihaknya sebulat suara memutuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu mengadakan satu sidang khas Parlimen bagi membincangkan isu serangan tentera Israel ke atas penduduk Palestin.

Jelasnya, usaha tersebut sebagai meneruskan kesinambungan sama yang pernah dilakukan pada Januari 2009.

"PR mendesak agar diadakan sidang khas Parlimen itu seperti yang telah dibuat pada Januari 2009," katanya.