Khamis, 10 Julai 2014

Bayi lapan bulan jadi cagaran

Sivasubramaniam berharap kes melibatkan mangsa (kiri dan kanan) dapat diselesaikan segera kerana bimbang kemungkinan ada kaitan culik dengan tujuan pemerdagangan manusia Sivasubramaniam berharap kes melibatkan mangsa (kiri dan kanan) dapat diselesaikan segera kerana bimbang kemungkinan ada kaitan culik dengan tujuan pemerdagangan manusia


IPOH –  Gara-gara desakan kewangan, seorang ibu bersetuju meminjamkan anaknya selama dua hari sebagai cagaran pinjaman wang daripada seorang wanita.

Bayi berusia lapan bulan itu diserahkan kepada seorang wanita dikenali sebagai Ayu, 38, 15 Mei lalu sebagai jaminan pinjaman RM3,500 untuk digunanya melangsaikan bayaran 15 saman trafik suami, dua bulan lalu.

Malangnya, perjanjian dua hari itu bertukar sebaliknya, ibu malang itu kini berputih mata anak kesayangan bersama wanita terbabit gagal dikesan sehingga ke hari ini.

"Perjanjian itu bertukar sebaliknya apabila dia (wanita dikenali Ayu) mahu saya selesaikan pinjaman wang sebelum bersetuju menyerahkan semula anak saya.

“Perjanjian itu dibuat di hadapan seorang pegawai polis yang berpangkat inspektor di sebuah balai polis termasuk menandatangani dokumen yang tidak diketahui isi kandungannya. Secara lisan, dia memberitahu untuk menjaga anak saya selama dua hari.

“Selepas dua hari, saya gagal menghubunginya termasuk menggunakan ‘orang tengah’ yang juga jiran yang dikenali Rani yang memperkenalkan wanita itu.

“Sejak dari kejadian itu, saya tidak dapat mengesan anak bongsu saya dan difahamkan mereka tinggal di Puchong, Selangor,” katanya yang membuat aduan kepada Adun Buntong, A Sivasubramaniam di Wisma DAP Negeri di  sini, semalam.

Ibu tersebut berkata, dia bukan sahaja berasa sedih tetapi bimbang dengan tahap kesihatan anaknya itu berikutan perlu mendapatkan vaksin seperti yang telah dijadualkan pihak hospital.

“Apabila ditanya kepada pegawai polis terbabit jawapan diterima amat mengecewakan apabila beliau menyatakan anaknya hanya sihat tanpa ada sebarang usaha untuk mengembalikan anak saya seperti yang dijanjikan.

“Saya tidak tahu niat sebenar wanita terbabit mahukan anak saya tetapi perasaan bimbang itu ada apabila mengenangkan banyak insiden kanak-kanak diculik dan di antara mereka seperti satu komplot,” katanya.

Menurutnya, dia mengakui tidak pernah mengenali wanita terbabit melainkan hanya berurusan dengan pihak ketiga yang juga pengasuh kepada anak bongsunya itu.

“Ayu selalu datang ke rumah Rani (jiran) saya untuk bermain-main dengan anak saya selain menyatakan rasa terlalu menyayangi anak kecil. Malah, Rani akan menjaga anak saya itu setiap Sabtu dan Ahad.

“Lebih membimbangkan, bapa mentua Ayu yang ditemui di balai memberitahu sijil kelahiran dan nama anak saya telah ditukar. Rani pula mengambil pendekatan untuk tidak campur tangan dalam masalah ini menyebabkan saya buntu,” katanya.

Ini kes serius: Adun

Sementara itu, Sivasubramaniam memohon Ketua Polis Perak mengarahkan kes itu diselesaikan segera kerana bimbang banyak insiden kanak-kanak diculik untuk tujuan pemerdagangan manusia.

“Saya telah menghubungi pegawai polis yang terlibat dalam kejadian itu dan mengakui insiden itu berlaku di hadapannya dan beliau juga mengetahui perkara ini.

“Satu laporan polis telah dibuat dan diharapkan semua pihak dapat mengesan bayi ini  untuk dikembalikan semula kepada ibunya,” katanya.

Tiada ulasan: