PENGUMUMAN Ketua Umum PKR, DATUK SERI ANWAR IBRAHIM sebagai calon PRK Dun Kajang, mengejutkan ramai pihak. Ada yang membuat spekulasi pencalonan ini dibuat bagi memberi laluan kepada Ketua Pembangkang ini untuk menjawat jawatan tertinggi dalam Kerajaan Negeri Selangor, namun sehingga kini dakwaan tersebut masih belum ada kesahihan.
Ikuti transkrip penuh temubual eksklusif bersama Anwar yang disediakan oleh wartawan Sinar Harian, Siti Nursyahidah Abu Bakar, Siti Aisah Habirin, Jamilah Hamzah, Norutul Ilham Mad Jari dan Jurufoto Zulfhadli Zaki.
Setakat ini sudah berapa banyak strategi yang diguna pakai PKR untuk menawan Putrajaya sehingga terpaksa mengosongkan kerusi Dun Kajang?
Strategi ini dibuat bergantung kepada suasana dan keadaan semasa. Situasi sekarang ini berkaitan kemelut politik melibatkan kaum, agama yang sengaja didedahkan dan sasarannya adalah Selangor.
Setakat ini Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim berjaya mengawal, terutamanya bidang ekonomi dan sudah sampai masanya untuk kita pertahankannya.
Contohnya, jika kamu tanya apa yang saya akan lakukan, pertama saya kata untuk memberikan keyakinan kepada orang Islam dulu, Islam adalah agama rasmi.
Kegiatan masjid, surau diimarahkan, kefahaman anak muda tentang Islam kena tingkatkan.
Ini adalah dengan penyebaran maklumat, jadi memerlukan suasana segar, ekonomi Melayu, mikro kredit, jadi kita kena yakinkan ini dulu.
Kemudian ini kita tunjukkan bahawa kuasa kita tidak menekan orang lain, Islam tidak ada dalam sejarah menekan rakyat, apatah lagi bukan Islam, dengan cara sombong, angkuh dan dan dangkal.
Islam itu berkembang, saya ada ceritakan dalam tazkirah bagaimana Wali Songo gunakan hikmah dan keadilan kembangkan Islam.
Saya sebut Islam itu bukan al-Qaeda sahaja, bukan Taliban sahaja. Tapi Islam yang 1,400 tahun dahulu yang sudah memberi mesej.
Kalau ini dilakukan sebagai ancaman, ingin saya cakapkan perlunya kita membetulkan akidah kita.
Saya ingin memberi jaminan, pada tiap orang Kristian, Budhha, Hindu, yang merasakan Islam itu menekan dan menghalang bahawa perkara tersebut tiada dalam ajaran Islam.
Kalau itu fokusnya Datuk Seri, sebagai Ketua Umum, Datuk Seri boleh memainkan peranan itu dan tidak perlu bertanding di Kajang?
Tapi dapatannya tidak sama, sebab kita kena ada dengan barisan pimpinan untuk memberikan impak yang betul-betul positif dan berkesan.
Tapi saya Ketua Umum dan penasihat, saya bukan British Presiden yang ada kuasa. Saya hanya penasihat yang boleh memberikan pandangan.
Kalau saya bagi nasihat saya hanya di belakang, tetapi isunya Tan Sri Khalid memang berkeupayaan baik dalam segi ekonomi.
Tetapi dalam pimpinan politik di Selangor, dia ada keterbatasan. Bukanlah bermakna saya ini baik sangat.
Adakah jawatan Tan Sri Khalid akan kekal sebagai MB?
Tidak, kita tidak akan beri jaminan itu, tidak. Itu kita akan bincang cari jalan yang terbaik.
Ada kemungkinan orang lain akan ganti tempat Abdul Khalid?
Ya, ia bukan tetap. Dalam politik malah dalam dunia sekalipun.
Tindakan Datuk Seri pilih Kajang yang pastinya akan berlaku serangan peribadi, jadi mungkin bukan sahaja musuh, bahkan yang iri hati akan keluar. Jadi apa tindakan Datuk Seri?
Sudah 15 tahun mereka ulang tayang perkara itu, itu sahaja mereka mampu. Orang Islam, bukan Islam tahu apa itu batas akhlak, hukum khazaf. Mereka akan ada kerja standard untuk dapatkan jawatan.
Kalau mahu jadi Senator, serang Anwar, nak jadi duta, serang Anwar, nak jadi Ketua Penerangan, serang Anwar.
Tapi kalau mutunya ke situ sahaja, politiknya begitu sahaja, itu adalah politik picisan dan ianya adalah jijik, sebab itu saya tidak mahu jawab.
Kadang-kadang orang lupa saya pernah jadi pemangku perdana menteri, dan laporan sampai kepada saya, jadi kalau saya mahu pilih untuk aib, kita boleh lawan, tapi saya tidak mahu buat begitu.
Kalau saya buat begitu, saya hilang tumpuan soal dasar, kalau kata saya tidak berani, saya kebanyakannya sudah saman, tapi kalau ada orang tanya kenapa tidak saman, saya sudah berpuluh kali saman, setiap minggu ke mahkamah.
Tapi bila kena saman, semua tarik kenyataan, (Ketua Pemuda Umno) Khairy (Jamaluddin) pernah tarik, Nalla (Datuk Nallakarupan) kalah, (Dr) Chandra Muzaffar kalah, banyak kes-kes macam itu, tapi itu bukan politiknya.
Adakah pernah berlaku tawaran daripada orang tertentu untuk berbincang sesuatu jawatan dengan Datuk Seri?
Yang maki hamun saya tiap malam itu apa? Kalau bincang mungkin sopan sikit, tidak ada.
Saya usulkan konsensus nasional kerana saya fikir rakyat tidak harus dikorbankan dalam isu api perkauman, fanatik agama, yang bercakap soal agama, amalan mereka pun teruk.
Dengar ucapan mereka 20 minit, maki orang, akhlak busuk, perangai buruk. Itu sahaja cukup mengatakan itu bukan cara dan kaedah betul, jadi dia ingat orang semua bodoh.
Anak muda sekarang walaupun nampak biasa, tapi mereka boleh berfikir.
Dia harus memikir dan mendengar. Berbalik kepada konsensus nasional, saya nak ia melibatkan soal isu kaum dan agama, jenayah yang meningkat kerana hampir semua rumah orang terlibat, ekonomi melibatkan harga barang, apa yang (kerajaan) dia buat? pantau harga...
Kerja perdana menteri sekarang adalah pantau harga, lihat semula perjanjian yang monopolinya, tapi selagi itu tidak dirungkai, harga tidak akan turun. Keempat adalah rasuah, ini adalah empat perkara yang kita mahu bincang, soalan lain tiada.
Pernahkah Datuk Seri ditawarkan kembali kepada BN dan memegang jawatan dalam kerajaan?
Jika tawarkan jawatan kembali ke Umno, tidak ada. Jika ada secara serius, kita akan runding dalam PR. Tetapi setakat ini, tiada rundingan.
Benarkah ada pakatan sulit Kajang seperti yang didakwa melibatkan Datuk Seri, Khalid dan juga Azmin?
Strategi itu ada, tetapi mana ada pakatan sulit. Azmin ialah Timbalan Presiden PKR dan pengarah pilihan raya nasional.
Sebelum ini, Khalid ada datang berjumpa saya. Beliau sendiri mahu bertanggungjawab menjadi pengarah PRK Dun Kajang setelah saya diumumkan sebagai calon.
Sesiapa saja yang sukarela mahu bekerja, saya OK. Kalau mahu kata ada pakatan sulit, saya sendiri pun tidak tahu.
Bagaimana jika BN tidak letakkan calon?
Di PRK Dun Penanti, BN tidak letak calon tetapi ada calon Bebas. Lebih-lebih lagi sekarang mereka beri alasan mahu jimat belanja dan mahu fokus pembangunan negara.
Itu bagus. Jika dilihat sejarah saya dalam politik, Alhamdulillah saya ada sokongan. Tetapi saya tidak pandang mudah setiap pilihan raya.
Saya akan turun berjumpa dengan penduduk kerana saya bukan bertanding sebagai Ketua Umum PKR, tetapi sebagai calon.
Malah, aktiviti saya di Permatang Pauh, saya pergi ke warung dan berjumpa dengan ramai orang.
Di situ, saya Ahli Parlimen dan orang anggap saya sebagai keluarga. Kalau saya menang di Kajang pun saya kena jadi begitu.
Bagaimana Datuk Seri melihat kenyataan pemimpin Pas yang tidak bersetuju perubahan jawatan Menteri Besar Selangor?
Pandangan saya selalunya perkara ini boleh dibincangkan. Saya tidak mahu ulas teguran atau kritikan mereka secara terbuka.
Semua perlu ikut proses kerana kita mahu kepimpinan yang efektif. Kita boleh tangani masalah ini. Cuma mudahnya, kalau saya ambil alih pun, saya ambil alih jawatan ini daripada Khalid. Itu jadi mudah sebab pengurusannya baik.
Adakah isu Konsensus Nasional perlu diterangkan segera kepada penduduk Kajang sebelum PRK berlangsung seperti yang pernah disuarakan oleh Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz?
Bagi saya kenyataan Nik Abduh itu lebih sopan. Dia cuma minta penjelasan kerana ada kekeliruan.
Tetapi saya sudah beri penjelasan melalui Majlis Pimpinan PR putuskan pada Ogos 2013 dalam mesyuarat. Cuma istilah yang digunakan berlainan.
Mulanya saya gunakan istilah dialog tetapi saya lakarkan dengan bahasa yang lebih tersusun iaitu Konsensus Nasional. Mungkin Nik Abduh tidak dapat maklumat itu.
Tetapi saya sudah menerangkan kepada Mursyidul Am Pas, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat akan keperluan untuk sedia berunding dalam isu-isu pokok.
Jika dibaca balik, kenyataan saya tidak menimbulkan kontroversi pun. Saya juga tidak menyebut rundingan antara Anwar dan Najib, tetapi pimpinan PR dengan kerajaan BN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan