Ada sesuatu yang unik di negara kita. Sesuatu perkara itu selalunya berlaku bermusim dan berturut-turut. Jika mula berlaku tanah runtuh misalnya, selalunya beberapa kejadian lagi akan berlaku selepas itu. Begitu juga jika ada kes penderaan pembantu rumah, kanak-kanak mati di taska, kes orang hilang, remaja perempuan dilarikan ke Lombok dan sebagainya, selalunya kejadian yang sama akan berturut-turut berlaku untuk beberapa lama sehingga ia menjadi perbualan di seluruh negara.
Perkara yang saja kini nampaknya sudah menjangkit ke dunia politik pula.
Selepas pilihanraya umum 2013, suara-suara yang meminta Najib berundur mula kedengaran. Ia bukan saja kerana prestasi beliau lebih buruk berbanding pencapaian Pak Lah pada 2008, tetapi juga kelemahan yang berterusan dan sikap tidak mahu berubah sehingga lebih ramai yang percaya kekalnya beliau akan menyebabkan BN lebih mudah ditumbangkan dalam pilihanraya akan datang ini.
Tetapi jika sebelum ini, hanya golongan penulis, blogger, pemimpin veteran UMNO dan seumpamanya saja yang menyuarakan perlunya Najib berundur dan memberi peluang kepada pemimpin lain menerajui parti serta kerajaan tetapi kini seruan yang sama turut datangnya daripada kelompok yang terlibat secara langsung dalam politik.
Bermula dengan perletakan jawatan pemimpin Hindraf, P Waytha Moorthy ssbagai timbalan menteri dan kemudian meminta Najib segera meletakkan jawatan kerana diangggap khianat dan mungkir janji untuk membantu golongan miskin kaum India, seruan yang sama kemudian datang pula daripada pemimpin Sabah, Jeffrey Kitingan yang mengetuai parti STAR.
Jika Waytha sekadar meminta Najib meletakkan jawatan atas alasan sudah kehilangan moral politik sebagai pemimpin yang seharusnya berpegang pada janji, Jeffrey pula bukan saja mengecam Perdana Menteri sebagai pemimpin yang membawa banyak masalah kepada negara, malahan mencadangkan Tengku Razaleigh sebagai alternatif yang terbaik sebagai penggantinya.
Dengan menyedari bahawa kemenangan BN banyak bergantung kepada kemenangan kerusi di Sabah dan Sarawak, saranan Jeffrey tidak lain ialah untuk memancing perhatian parti-parti lain di kedua-dua negeri itu agar mempunyai lorong kesedaran yang sama dengannya.
Beralihnya sokongan yang diterima BN selama ini, sama ada di Sabah mahu pun Sarawak, adalah petanda maut bagi Najib.
Dan jika diambil kira seruan perletakan jawatan itu sesuatu yang bermusim dan akan dituruti oleh pihak lain pula, kebarangkalain lebih ramai yang tampil meminta Najib segera meletakkan jawatan selepas ini bukanlah sesuatu yang mustahil.
Ramai yang menunggu, siapa pula yang akan bersuara meminta Najib meletakkan jawatan selepas ini.
Tambahan pula dengan sikap Najib yang nampaknya masih kaku, tidak mahu berubah serta lambat memberi respon terhadap sesuatu isu, ia secara langsung memperlihatkan kepimpinannya yang semakin lemah dan tidak lagi relevan dalam dunia yang serba pantas sekarang ini.
Dalam isu Waytha meletakkan jawatan misalnya, Najib hanya memberi respon dan meluahkan kekecewaannya dengan tindakan pemimpin Hindraf itu setelah tujuh hari kemudiannya. Dan kini, walaupun Waytha terus mengkritiknya sambil mendesaknya segera berundur sebagai Perdana Menteri, Najib masih belum lagi memberi responnya.
Di ketika semua perkara semakin pantas, kelembapan Najib ini tidak boleh diterima sama-sekali kerana ia memperlihatkan beliau sudah kehilangan upaya untuk mempertahankan dirinya. Lebih memburukkan keadaan, pemimpin UMNO dan kerajaan yang dilihat masih mempunyai semangat untuk mempertahankan Najib pula hanya dua tiga kerat saja.
Di samping itu, selepas pilihanraya kecil Kajang yang akan menyaksikan Anwar menjadi MB Selangor berserta keupayaan melakar imej lebih baik untuk PR, ia dalam masa yang sama juga akan menjadikan UMNO, BN dan kerajaan semakin terperosok untuk meraih sokongan rakyat.
Dengan itu, Najib akan terus dipersalahkan dan keperluan beliau segera berundur akan menjadi semakin meningkat. Mahathir yang sekarang ini pun sudah memperlihatkan kerisauannya dengan gerakan baru Anwar di Kajang pasti tidak akan berdiam diri atau melihat dengan berpeluk tubuh saja kebangkitan musuh politiknya untuk menawan Putrajaya.
Satu-satunya perkara yang tidak sanggup dihadapi oleh Mahathir ialah jika Anwar akhirnya berjaya menjadi Perdana Menteri.
Dan satu-satunya juga peluang yang mungkin ada untuk mengelakkan Anwar daripada menjadi Perdana Menteri ialah dengan segera menukar Najib dan menggantikannya dengan pemimpin lain yang lebih diyakini dan diterima rakyat. Najib hampir pasti akan dikambing-hitamkan dalam pertempuran ini.
Sebab itu, sebaik saja Anwar menang di Kajang, musim mendesak Najib berundur yang sudah pun bermula ketika ini, pasti akan lebih rancak lagi. Sekarang ini bukan saja gerakan itu seperti sudah bermula, bahkan sudah kedengaran apa pihak yang akan tampil lebih berani dan lantang daripada Waytha dan Jeffrey Kitingan lagi.
Tak percaya? Tungguuuuu....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan