Khamis, 6 Februari 2014

Presiden PAS lancar Kempen Jom Turun malam esok



HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Lajnah Penerangan dan Hubungan Media PAS Pusat dengan kerjasama PAS Wilayah Persekutuan akan mengadakan satu pelancaran roadshow kempen Jomturun peringkat pusat.

“Kempen ini dilancarkan bertujuan untuk menggerakkan kesedaran rakyat berkaitan kenaikan kos sarahidup yang semakin membebankan rakyat,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar kepada Harakahdaily.

Katanya, kempen yang digerakkan oleh PAS ini selari dengan agenda rakyat yang ingin melihat negara ini bebas dari korupsi yang menjadi punca utama kenaikan kos sara hidup.

Selain itu, ujarnya PAS juga menuntut supaya ditangguhkan perlaksanaan GST yang masih belum sesuai dilaksanakan dalam negara ini. PAS juga meminta supaya didedahkan perjanjian konsesi tol yang dilihat menyebelahi syarikat konsesi tol dan dalam masa yang sama terus menjerut leher rakyat.

Pelancaran roadshow itu, kata Mahfuz akan disempurnakan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang turut disertai oleh timbalannya, Mohamad Sabu dan beliau sendiri.

Selain itu, jelasnya wakil-wakil dari Dewan Pemuda, Dewan Ulamak dan Dewan Muslimat Pusat juga akan turut hadir bagi menjayakan program besar itu.

Pelancaran roadshow itu, kata beliau akan diadakan pada Jumaat, 7 Februari jam 9.00 malam bertempat di Padang Blok E, Desa Pandan, Kuala Lumpur.

“Sehubungan dengan itu, saya bagi pihak PAS Pusat menjemput dan mempersilakan seluruh rakyat yang prihatin terhadap isu kenaikan kos ini khususnya warga Lembah Kelang, dan juga warga media cetak dan elektronik agar dapat turun hadir bersama-sama memberi sokongan dan membuat liputan terhadap pelancaran roadshow ini,” ujarnya lagi.

Tiada ulasan: