Jumaat, 14 Februari 2014

PKR tetapkan 25 April tarikh pemilihan parti


Pengerusinya, Datuk Johari Abdul berkata semua jawatan tertinggi PKR termasuk presiden akan dipertandingkan pada pemilihan parti itu Mei depan.

"Jawatan itu sudah tentu ada untuk dipertandingkan, sama ada terdapat orang bertanding atau tidak ia di luar kawalan jawatankuasa pemilihan parti.

"Ini bermakna jawatan itu tetap dipertandingkan. Siapa yang akan bertanding itu terpulang hingga hari penamaan calon," katanya kepada pemberita di ibu pejabat PKR, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas lanjut kesediaan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding jawatan presiden PKR bagi mengambil alih teraju parti itu daripada isterinya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Mengulas lanjut, beliau berkata proses pemilihan itu akan dijalankan mengikut zon secara berperingkat-peringkat dalam tempoh tiga minggu.

Tambahnya proses penamaan calon pula ditetapkan pada 29 Mac bagi jawatan peringkat pusat manakala 4 April bagi peringkat cabang.

"Proses pemilihan akan diadakan mengikut zon, bagi minggu pertama, akan diadakan pada 25 hingga 27 April melibatkan Sarawak, Johor, Melaka, Kelantan, Terengganu dan Pahang.

"Minggu berikutnya disusuli dengan Sabah, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis pada 2 hingga 4 Mei," katanya.

Johari berkata bagi minggu terakhir melibatkan Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan yang akan diadakan pada 9 hingga 11 Mei.

"Keputusan undian akan diketahui selewat-lewatnya jam 5 petang sebaik proses pengundian tamat manakala barisan kepimpinan baharu akan diumumkan selewat-lewatnya 13 Mei," katanya lagi.

Tiada ulasan: