Ahad, 2 Februari 2014

PAS tidak mungkin duduk sebumbung dengan UMNO, senyuman UMNO nampak manis, tapi penuh racun berbisa: Salahuddin


salahudin4



WALAUPUN tewas di dua kerusi iaitu Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu, ia bukan penamat perjuangan terutama dalam usaha membela rakyat tertindas.
Begitulah pendirian Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

Anak kelahiran Kampung Serkat, Pontian, Johor berkelulusan Diploma Pentadbiran Perniagaan di Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR) dan Ijazah Bsc Sains Pembangunan Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) ini bergiat aktif dalam aktiviti kemanusiaan sehingga pernah menjadi anggota International Parliamentery Organization (IPO) serta Caucus Pembelaan Perjuangan Kemanusian.

Bekas Ahli Parlimen Kubang Kerian selama dua penggal itu turut beberapa kali mengetuai misi kemanusiaan ke Kosova (1999), Afganistan (2002), Iraq (2003) dan Lubnan (2006).

Ketokohan Salahuddin juga menjadikan Pemuda PAS amat digeruni ketika menjawat jawatan itu beberapa tahun lalu.

Wartawan Roketkini, Aliff Fikri dan Jurugambar, Wira Andika baru-baru ini sempat bersemuka dan berbual mesra dengan Salahuddin di Ibu Pejabat PAS untuk membincangkan perihal politik semasa, perkembangan kerjasama dalam PR, strategi ke arah kejayaan pada masa depan dan pelbagai lagi.

Pertamanya kami di pihak Roketkini ingin mengucapkan tahniah kepada saudara kerana dipilih kekal sebagai Naib Presiden PAS.

Terima kasih (tersenyum).

Bagaimana pandangan saudara mengenai keadaan politik mutakhir ini? tambahan dengan pelbagai pelaksanaan yang semakin ‘mencekik’ rakyat?

Pelaksanaan ‘mencekik’ kerajaan sekarang ini sudah dijangka kerana berdasarkan manifesto yang kita tawarkan kepada rakyat pada PRU-13 lalu, ia adalah usaha terbaik agar dapat menangani pelbagai permasalahan negara khususnya yang memberi tekanan kepada semua lapisan masyarakat.

Kami sejak awal lagi sudah tahu, Kerajaan BN ini sememangnya mempunyai niat untuk mengambil kembali apa yang diberi kepada rakyat, contohnya, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) melalui belanjawan negara yang akan diolah dalam bentuk mempesonakan, kini mereka laksana pelbagai agenda menekan rakyat seperti pemotongan subsidi dan kenaikan harga bahan api. Inilah akibatnya apabila BN sekali lagi diberi peluang memerintah.

Saya cukup yakin dan percaya bahawa ini peluang PR untuk lebih serius berdepan isu yang menyusahkan hidup dan memberi kesan langsung kepada rakyat. Rakyat tentunya menunggu apakah tindak balas, program, cadangan atau idea konstruktif daripada pimpinan PR.

Saya turut yakin sekiranya kita (PR) berjaya mendedahkan semua isu tadi dalam bentuk maklumat tepat dan sampai kepada sasaran yang ditujukan, ia pastinya memberikan peluang cukup luas, cerah untuk mendapatkan sokongan yang lebih kukuh selepas kejayaan PRU-13.

Agaknya apa punca menyebabkan PR tidak dapat mencapai sasaran pada PRU-13 lalu? Apakah semata-mata berpunca daripada 3M iaitu ‘money, manpower dan media’?

PR memang mendapat undi popular yang jauh lebih tinggi berbanding BN tapi sebagaimana yang kita sedia maklum bahawa PR harus juga mengakui sememangnya kita tidak dapat mendepani cabaran 3M BN terutama media walaupun media baru semakin bercambah dan semakin mendapat tempat tapi capaian atau aksesnya masih tidak menembusi masyarakat luar bandar, Felda dan yang paling penting orang asal, Bumiputera Sabah dan Sarawak yang masih lagi bergantung kepada media arus perdana.

Jadi PR perlu perakui ini dan mencari jalan mengatasinya daripada sekarang dengan mengadakan satu komuniti lebih kukuh untuk mengatasinya.

Namun begitu, dalam keadaan halangan sebegitu rupa sekalipun, kita masih dapat undi popular 51 peratus. Cuba saudara bayangkan jika kita memiliki media yang adil, tentunya kemenangan sudah kita peroleh dan sampai ke Putrajaya.

Saya juga tidak lupa untuk menyatakan bahawa faktor padang permainan sama rata itu cukup penting, dengan persempadanan yang diragui ketelusannya yang sentiasa menjadi tanda tanya. Walau apa pun cabaran, halangan dan rintangan yang PR hadapi, saya tetap percaya rakyat Malaysia akan terus terdidik dan apa yang perlu dititikberatkan PR sekarang adalah bagaimana melangsungkan dalam memberikan pendidikan politik kepada masyarakat terutamanya kepada masyarakat yang sehingga kini tidak pernah tahu dan tidak mendapat maklumat mengenai betapa baiknya tawaran manifesto kita serta rekod pentadbiran PR di Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan. PR perlu berusaha lebih gigih dalam soal ini.

Apa pula strategi khusus PR untuk hadapi PRU-14 nanti?

PAS kini dalam tempoh menyiapkan post mortem selepas PRU-13, saya sendiri menganggotai jawatankuasa itu. Ini penting untuk dijadikan asas bagaimana harus kita ‘develop’ atau membangunkan strategi atau idea baru dalam menghadapi PRU akan datang.

Di peringkat PR pula, satu pasukan ‘task force’ sudah diwujudkan untuk melihat bagaimana PR perlu memperkukuh, memperkemas dan menyelamatkan kekuatan sedia ada disamping mencari langkah agar dapat melangkaui ‘grey area’ dan ‘black area’. Task Force ini bertujuan memberi fokus dan menggarap sasaran kita iaitu orang Melayu di luar bandar, masyarakat Felda yang masih lagi agak rendah peratusnya menyokong PR.

Daripada segi sokongan orang Melayu, undi BN meningkat 1.5 peratus? Di mana silapnya?

Ini pada saya bukan soal silap di mana tapi menunjukkan bahawa cara kotor BN memanipulasi, memain serta membakar sentimen kaum dan agama masih berjaya dan diterima.

Cara seperti ini memang sentiasa dimainkan contohnya dakyah mereka kepada orang Melayu tentang jahatnya DAP, cauvinisnya DAP, PR memerintah Islam terpinggir, masjid jadi gereja, orang Cina jadi Perdana Menteri, ini semua merupakan ‘hantu’ yang memang direka cipta untuk menakut-nakutkan dengan fokus hanya untuk meningkatkan sokongan Melayu.

PAS dan PR memerlukan usaha lebih dalam menerang dan memperjelaskannya bahawa itu semua adalah agenda serta cara BN mengekalkan kuasa hingga sanggup mengada-adakan perkara tidak benar dan menyebar fitnah sebegitu rupa.

Tadi saudara bercakap soal luar bandar, apakah PR sudah merangka atau menyusun strategi untuk Pilihan Raya Sarawak?

PAS sendiri baru saja selesai mesyuarat Kabinet dan memang fokus kita yang paling terdekat adalah Pilihan Raya Negeri Sarawak, di peringkat majlis pimpinan PR pula sudah ditubuhkan ‘task force’ untuk memulakan gerak kerja menawan Sarawak.

Antara tugasan ‘task force’ ini bukan saja mengenal dan merangka strategi tapi membincangkan perihal pengagihan kerusi. Pengagihan ini penting kerana kita tidak mahu ada sebarang percanggahan wujud dan yang paling penting kekal dengan agenda utama PR iaitu menumbangkan kerajaan zalim UMNO/BN. Anggota Jawatankuasa ‘task force’ ini akan diumumkan kepimpinan ketiga-tiga parti itu nanti.

Bagaimana dengan khabar angin yang mengatakan PAS akan menyertai BN dan membentuk satu pakatan yang kononnya dinamakan ‘government of national reconciliation’?

Kita tidak pernah sebut soal ‘national reconciliation’, Najib je yang sebut. PAS tidak pernah teruja dengannya, kami mengenali UMNO ni sudah lama, kita tahu daripada segi
jelingan dan senyuman tu walau nampak manis serta manja, ia penuh racun berbisa.

Saya ingin tegaskan kepada rakyat Malaysia yang menyokong penuh PR, jangan bimbang. PAS tidak begitu mudah termakan dengan apa pun agenda atau tawaran UMNO.

Saya juga rasa tidak perlu bagi PAS, DAP dan PKR menamatkan kerjasama dalam PR yang begitu erat. Bagi saya inilah masa terbaik untuk semua parti dalam PR membina kerjasama agar lebih kuat. Sekali lagi saya katakan, PAS tidak pernah sesekali bercadang membentuk kerjasama dengan BN atau mengeruhkan keadaan dengan keluar daripada jalinan ikatan kukuh sedia ada.

Dalam soal membabitkan kepentingan negara seperti kebajikan, pendidikan, kita bersedia menghulurkan tangan tapi ia tidak bermakna PAS mahu duduk sebumbung dengan mereka. Walaupun kita berbeza rumah dan bumbung tapi atas nama kepentingan rakyat, kita sentiasa berlapang dada untuk menghulurkan tangan. Banyak ‘area’, bidang yang perlu dikongsi bersama.

Tapi untuk kita pergi dan bergabung atau duduk satu bumbung dengan BN membentuk ‘government of national reconciliation’ itu tidak sama sekali. Kerana pada PAS, strategi yang paling bijak, ampuh dan berkesan buat masa ini adalah bersama PR.

Ada pula mulut pimpinan BN mendakwa ‘politics of conscience’ yang sering disebut Anwar Ibrahim lebih selari jika bergabung dengan mereka.

(Ketawa), saya rasa itu persepsi orang yang ingin memecahbelahkan PR tapi saya percaya semua rakan dalam PR sangat erat dan saling mempercayai, hormat antara satu sama lain dan memang kita tidak akan sesekali tunduk kepada agenda songsang UMNO/BN.

PAS akan tetap dan terus kekal dalam satu keluarga besar bersama DAP dan PKR. Itu realiti yang tidak dapat disanggah lagi.

Pasal Syiah?

PAS tidak akan melayan isu ini, kami tidak mahu membuang masa. PAS sudah pun perjelas, Mat Sabu tidak mengamalkan Syiah, tidak pernah komited dalam apa juga yang berkaitan Syiah. Fokus utama adalah membantu rakyat, GST, tekanan hidup yang semakin meningkat, harga barang naik, itu isu yang akan PAS perjuangkan. Syiah ini hanya politik murahan tepian jalan. -Roketkini.com

1 ulasan:

Unknown berkata...

Saya pun tak fikir PAS akan berkerjasama dengan UMNO. Berkali2 kita dapati PAS hanya dijemput untuk sebarang kerjasama hanya apabila UMNO tersebit.

Dalam kontek Islam, UMNO tidak pernah serious tentang agama. Mereke boleh mencerca agama sendiri dihadapan penganut2 lain dan sedikit pun mereka tak rasa bersalah.

Justeru tidak mungkin PAS akan mahu berkerja sama dengan puak2 ini.ini.