Ahad, 16 Februari 2014

Kenderaan JHEAINS dirosakkan pihak tidak puas hati diserbu

HARAKAHDAILY 


SEREMBAN: Sekumpulan lelaki bertindak merosakkan kenderaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan pegawainya dalam satu kejadian di pejabat bahagian penguat kuasanya di sini awal hari ini.
  
Menurut Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS Ahmad Zaki Hamzah, insiden berlaku sejurus selepas pihaknya mengadakan serbuan di beberapa premis yang menjalankan aktiviti tidak bermoral di Tampin, malam tadi.
  
"Saya percaya perbuatan ini ada kaitan dengan serbuan tersebut," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.
  
Menurutnya kumpulan lelaki itu bukan sahaja mengelar tayar kenderaan pacuan empat roda milik JHEAINS tetapi juga mencalarkan kereta milik beberapa pegawai penguat kuasa yang diletak di sekitar pejabat.
  
"Mereka juga telah datang bertemu dengan beberapa anggota penguat kuasa kami meluahkan rasa tidak puas hati dengan operasi di Tampin tersebut," katanya.
  
Ahmad Zaki berkata tidak cukup dengan itu, kumpulan lelaki berkenaan menunggu pegawai penguat kuasa yang terlibat dalam operasi balik ke pejabat dan memaki hamun mereka.
  
Ini kali pertama kejadian sebegini berlaku dan kami sudah membuat laporan polis, katanya.
  
Mengenai operasi di Tampin itu, Ahmad Zaki berkata pihaknya menahan tiga pasangan yang disyaki berkhalwat ketika pemeriksaan terhadap beberapa premis.
  
Katanya operasi enam jam dari pukul 10 malam itu melibatkan 20 pegawai penguat kuasa JHEAINS. - Bernama

Tiada ulasan: