Sabtu, 8 Februari 2014

Hospital Likas Beroperasi Seperti Biasa, Wad Pesakit H1N1 Dikuarantin




KOTA KINABALU: Operasi di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak di Likas di sini berjalan seperti biasa di kesemua wad di hospital yang dikuarantin berikutan wabak virus selesema influenza A (H1N1).

Seorang pegawai hospital negeri berkata, mereka masih mengekalkan amaran dan mengamalkan langkah-langkah kebersihan diri seperti membasuh tangan dengan kerap dan penggunaan topeng muka bagi mengelakkan penularan wabak itu.

Pegawai itu juga berkata, kesemua tujuh pesakit yang dikesan dengan virus itu beransur sembuh, tanpa tanda-tanda ia merebak keluar dari wad.

Beliau berkata, walaupun mereka mendapati virus itu tidak berbahaya, langkah-langkah pencegahan diambil bagi membendung sebarang kemungkinan.

Difahamkan pemeriksaan terhadap pesakit, ibu bapa atau penjaga mereka dan kakitangan di hospital bermula sejak beberapa hari lepas.

Dilaporkan wabak virus selesema H1N1 dikesan kira-kira dua hari lalu terhadap tujuh orang iaitu lima kanak-kanak dan dua dewasa yang ditempatkan di salah satu wad di hospital itu.

Mereka yang berada di wad itu dikuarantin, manakala para pelawat yang datang ke hospital, terutama ke wad berkenaan, perlu melalui ujian saringan.

Mereka yang menghidap selesema atau menunjukkan sebarang tanda selesema dinasihatkan untuk pergi membuat pemeriksaan dengan segera.

Tiada ulasan: