Jumaat, 7 Februari 2014

AMK jangan terperangkap dengan politik kabilah'

MALAYSIAKINI

 
 
 
ADUN PKR Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata AMK perlu melakar idea tersendiri dan tidak terperangkap dengan politik kabilah "satu chai atau satu blok" seperti parti lain kerana menganggapnya tidak sihat walaupun tidak menafikan pilihan ahli masing-masing.

Menurut Nik Nazmi lagi, AMK juga perlu mencungkil bakat dan meraikan kekuatan dari pelbagai pengkhususan demi menjamin kelangsungan kekuatan parti khususnya dari kumpulan generasi muda.

Malah, katanya, ia sekaligus memastikan sayap kanan PKR itu boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan Umno dan tidak dianggap sebagai jaguh kampung semata-mata.

"Saya nak jadi AMK sebagai satu organisasi dapat mewakili bakat yang kita yang ada dalam parti, daripada aktivis, reformasi, kesatuan sekerja, hak asasi, profesional, kotrak, akademik, seniman, boleh menyantuni masyarakat yang pelbagai.

"Dalam program dan ceramah, saya jumpa pelbagai ramai bakat dalam parti, daripada aktivis, orang susah sehingga korporat, penjawat awam. Itu yang kita (perlu) raikan

"(Saya) tidak mahu mewakili satu kelompok... Biarlah kita pergi mana-mana dunia, kita boleh menjadi macam yang ditunjukkan oleh Anwar. Kalau boleh itu yang dicontohi AMK," katanya.

Dalam wawancaranya dengan Malaysiakini, Nik Nazmi berkata setiap anggota AMK mempunyai tugas besar membina semula kekuatan anak muda dengan membawa idea perubahan dan reformasi kerana perkara itu paling mudah diterima oleh mereka.

"PKR ada ramai ahli di Selangor dan di Sabah - 50 peratus Melayu, 20 peratus India, 15 peratus Cina dan bakinya Bumiputera Sabah dan Sarawak. Sepatutnya AMK juga menonjolkan kekuatan itu, tidak dominasi pihak kaum, negeri dan sebagainya.

"Sepatutnya kita (adalah) parti semula jadi, parti anak muda di Malaysia. Misi AMK untuk menjadi PKR ini memenuhi kriteria untuk menjadi parti untuk generasi muda," katanya yang juga timbalan speaker DUN Selangor .

'Jenama cukup unik'

Sungguhpun begitu, Nik Nazmi berkata PKR mempunyai keistimewaan "jenama yang cukup unik" sebagai parti nasional berbilang kaum apabila mempunyai sekurang-kurangnya seorang wakil rakyat di setiap negeri.

Menurutnya, parti itu berjaya mengetengahkan pemimpin muda ke persada arus perdana berbanding parti lain termasuk Umno seperti Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, Rafizi Ramli (Pandan), Shamsul Iskandar Md Akin (Bukit Katil), ADUN Batu Caves Amiruddin Saari dan ADUN Teja Chang Lih Kang.

"... Umno menyedari mereka ada kelemahan ini, berusaha keras. Mereka ada Khairy Jamaluddin yang kita harus akui, ada tarikan anak muda berbanding sebelum 2013. Dia ada portfolio di Kementerian Belia dan Sukan sebagai menteri.

"Kita perlu membina generasi muda dan kita perlu mengungkap kelebihan yang ada sebagai parti pelbagai kaum yang nasional, (menonjolkan) idea progresif dan ramai pemimpin muda, itu yang kita perlu tonjolkan," katanya.

Ditanya keputusan beliau menawarkan diri bertanding jawatan ketua AMK pada pemilihan kali ini, Nik Nazmi hanya ketawa kecil sambil menyatakan belum membuat keputusan rasmi mengenainya dan akan mengumumkannnya bila tiba masa.

"Kalau umum saya memang nak bertanding, makna saya yakin untuk menang. saya tidak tanding untuk kalah. Saya orang lama dalam parti. Sejak 2001 menjadi terlibat di peringkat cabang

"(Pernah bertugas di) pejabat Datuk Seri Anwar Ibrahim kemudian (Tan Sri) Khalid Ibrahim, menjadi pengarah komunikasi, dan di cabang Kelana Jaya," katanya.

Setakat ini dua tokoh AMK telah menawarkan diri bertanding jawatan itu iaitu Amiruddin Saari dan Ketua AMK Negeri Sembilan, Nazri Yunus.

Nik Nazmi menyifatkan beliau dan Amiruddin mempunyai kelebihan masing-masing dan sama-sama pernah terlibat menjadi dalam kepimpinan AMK pada 2007 hingga 2010 dan kini menjadi rakan dalam DUN Selangor.

Tiada ulasan: