Roketkini.com.
Timbalan Pengerusi DAP Perak, V Sivakumar berkata, kerajaan BN negeri membuat janji itu sejak 2009 sebaik merampas pemerintahan Perak, sebaliknya menuduh kerajaan Pakatan Rakyat (PR) yang tidak prihatin terhadap sekolah Tamil di negeri itul.
Katanya, MIC Perak perlu buktikan dakwaan apabila mengumumkan kerajaan BN Perak sudah memberi 2,000 ekar tanah kepada sekolah Tamil di Perak.
Sivakumar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tronoh berkata, kalau benar MIC Perak perlu membuktikan kebenaran dakwaan itu dengan menunjukkan geran bagi 2,000 ekar tanah itu dengan serta-merta.
“Sebenarnya tanah itu tidak pernah diberi kepada sekolah Tamil di Perak, tetapi atas nama Yayasan Perak. Saya tidak tahu apa hubungan Yayasan Perak dengan sekolah Tamil.
“Ini adalah muslihat untuk mengkaburi mata masyarakat India. MIC membuat lakonan seolah-olah masalah tanah untuk sekolah Tamil itu sudah diselesaikan apabila kerajaan memberikan tanah itu kepada Yayasan Perak,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Sivakumar berkata, beliau sudah beberapa membangkitkan isu tanah 2,000 ekar itu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak, tetapi hanya diberi jawapan yang lumrah iaitu masalah akan diselesaikan dalam tempoh terdekat.
Menurutnya, isu tanah itu tidak dipandang serius kerajaan BN, begitu juga pemimpin MIC juga tidak mahu isu ini sering ditimbulkan kerana mungkin mempunyai agenda sendiri untuk ‘sapu’ tanah terbabit.
“Saya difahamkan ada pemimpin politik bercadang untuk mendapatkan tanah itu daripada Yayasan Perak dengan cara menubuhkan syarikat swasta untuk mengurusnya.
“Baru-baru ini Ahli Parlimen Tapah, Datuk Saravanan juga membuat saranan kepada kerajaan Perak supaya menyerahkan tanah itu kepada MIC untuk membantu sekolah Tamil.
“Ini satu cadangan yang tidak boleh diterima kerana rakyat negara ini khususnya masyarakat India tidak lupa kepada skandal besar yang pernah dilakukan MIC seperti isu saham telekon dan Maika Holdings,” katanya.
Menurutnya, memberi 2,000 ekar tanah ini kepada MIC seolah-olah menjemput buaya ke tepi sungai dan memberi seekor kambing untuk dimakan.
Tambahan pula, katanya, dalam suasana politik sekarang BN tidak mungkin dapat menjadi kerajaan lagi di Perak selepas PRU-13 sebab itu memberi tanah itu kepada MIC adalah satu tindakan yang langsung tidak bermakna.
“Saya juga membangkit isu ini dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat Perak pada 15 Februari lalu dan Pakatan Rakyat Perak berjanji menyelesaikan masalah tanah 2,000 ekar itu dengan serta merta apabila menjadi kerajaan selepas PRU-13 nanti.
“Kami juga memberi tempoh 14 hari kepada kerajaan BN Perak menyelesaikan masalah tanah 2,000 ekar itu, jika gagal, kami terpaksa membuat satu himpunan aman di hadapan SUK Perak untuk menuntut hak sekolah Tamil di Perak,” ujarnya. -Roketkini.com.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan