KELANA JAYA : Pembangunan Projek Datum Jelatek di Keramat oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan melonjakkan pemilikan nilai hartanah masyarakat Bumiputera melebihi RM500 juta.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, sebelum ini nilai pemilikan masyarakat Bumiputera di kawasan itu hanya sekitar RM20 juta.
“Apa yang dilakukan oleh PKNS ialah membelinya dengan 15 kali ganda daripada harga asal iaitu berjumlah RM300,000.
“Jadi masyarakat Bumiputera yang memiliki hartanah tersebut sudah memiliki nilai hartanah yang meningkat sebanyak 15 kali ganda.
“Ini tidak tergambar jika kita tidak membuat pembaharuan dalam pembangunan tersebut,” kata Abdul Khalid
Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Pecah Tanah Kompleks Kediaman Warga Industri di SS 8/2 di sini.
Abdul Khalid berkata, sebelum ini pembangunan di kawasan Jelatek yang mana kosnya tidak lebih RM20,000 seunit dengan dimiliki 99 peratus masyarakat bumiputera.
“PKNS sebagai peneraju pembangunan negeri Selangor mempunyai keinginan dengan penglibatan masyarakat Melayu dalam pembangunan hartanah,” kata Abdul Khalid.
Tambah beliau, pembangunan di Datum Jelatek telah meningkatkan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) bernilai RM1 bilion dengan 50 peratusnya akan dimilik oleh golongan Bumiputera.
“Harta pemilikan Bumiputera kita tingkatkan kepada RM500 juta sekurang-kurangnya, dengan ini kita membawa masyarakat Melayu ke satu status yang lebih tinggi lagi,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan