Khamis, 28 Februari 2013

Yusof sudah jangka anaknya akan menang Pengarah Harapan

RAZIATUL HANUM A.RAJAK
FFM25
Datuk Joseph Salang (enam,kiri) bergambar kenangan bersama 10 pemenang pencalonan pertama pada majlis Perasmian dan Penyampaian Anugerah FFM 25 di Kuala Lumpur, semalam. 
 
PENGARAH terkenal, Datuk Yusof Haslam optimis sejak awal lagi yang anaknya, Syafiq akan memenangi Anugerah Cipta - Pengarah Harapan berdasarkan hasil kerja anak muda itu dalam filem pertama arahannya, S.A.M.(Saya Amat Mencintaimu).

Syafiq menewaskan Ghaz Abu Bakar (Hantu Kapcai), Nizam Zakaria (Cinta Kura-Kura), Goh Aun Hoe (SeaFood) dan Teng Bee (Kepong Gangster) untuk membawa pulang anugerah tersebut.

Menurut Yusof, meskipun optimis kemenangan berpihak kepada anaknya, namun beliau tidak memberitahu perkara tersebut kepada Syafiq.

"Sebenarnya, saya optimis Syafiq menang sebab saya tengok hasil kerja dia tapi saya tak cakaplah.

"Saya juga dapat pandangan daripada pengarah lain tentang kebolehan Syafiq," kata beliau ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Festival Filem Malaysia ke-25, malam tadi.

Syafiq akui tidak menjangka kemenangan  itu memandangkan pesaing-pesaing lain juga hebat.

"Alhamdulillah terima kasih kepada papa, mama, Abang Syamsul dan keluarga. Terima kasih atas sokongan. Terima kasih ALLAH.

"Saya tak jangka (kemenangan) tetapi saya akan cuba yang terbaik untuk penonton," katanya ketika memberi ucapan setelah menerima trofi dan hadiah berupa wang tunai RM 10,000.

Syafiq merupakan pengarah termuda di negara ini apabila mengarah filem pada usia 18 tahun.

Filem S.A.M turut bersaing dalam empat kategori Anugerah Perdana pada Malam Anugerah FFM25 yang bakal berlangsung, Sabtu ini.

Tiada ulasan: