Oleh Ruqayya Rahman)
KUALA LUMPUR : Hampir 4,000 wanita di seluruh negara termasuk
Sabah dan Sarawak menghadiri Himpunan Kebangkitan Wanita yang julung
kali diadakan di Kompleks Beli Belah Spectrum, Bandar Baru Ampang, Ahad
lalu.
Hadir
pada majlis itu, Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin; Ketua Dewan
Muslimat PAS Pusat, Siti Zalilah Mohd Yusoff; Timbalan Wanita KEADILAN,
Rodziah Ismail; Naib Ketua, Haniza Talha; Ketua Srikandi, Siti Aishah
Shaikh Ismail dan barisan pimpinan wanita Pakatan.
Dalam ucapannya, Zuraida berkata, himpunan itu merupakan simbolik pengiktirafan Pakatan Rakyat terhadap peranan wanita.
“Walaupun sekadar suri rumah yang tidak bekerja, mereka juga
sebahagian individu yang berperanan dalam melahirkan kepimpinan negara,”
katanya menyeru wanita bersama Pakatan Rakyat memperjuangkan hak
mereka.
“Undi wanita sangat penting, kerana penentu siapa layak jadi kerajaan
Malaysia. Jadi kita perlu kerja sama-sama kerana satu undi anda, sama
dengan satu langkah ke Putrajaya,” tambah Ahli Parlimen Ampang itu
disambut tepukan hadirin.
Dalam himpunan itu, pimpinan wanita KEADILAN dilihat memakai apron
“Pakatan Lindungi Keluarga Anda” sebagai simbolik menghargai peranan
wanita dalam pembangunan negara.
Zuraida berkata, menerusi Skim Caruman Wanita Nasional, golongan
wanita akan memperoleh bayaran minimum RM50 sebulan dari kerajaan
pakatan rakyat.
Selain itu, katanya, wanita KEADILAN turut melancarkan insentif untuk
wanita bekerjaya bagi menggalakkan penglibatan mereka dalam bidang
keilmuan dan profesional.
Pakatan juga katanya, dalam rangka melancarkan pusat asuhan bayi
untuk ibu-ibu bekerja dan menjamin semua skim tersebut dilancar sebaik
pakatan rakyat memerintah.
Majlis
yang diacarakan penyanyi Dayangku Intan turut dimeriahkan dengan
persembahan tarian dan kebudayaan pelbagai kaum disamping cabutan
bertuah.
Terdahulu, mereka memeriahkan acara menggaul ‘Yee Sang’, sempena sambutan Perayaan Chap Goh Mei.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan