Rabu, 27 Februari 2013

Pas: Teguran Mufti Perak perlu adil

Wartawan Sinar Harian
Dr Ahmad Nuri Al-Amin
Dr Ahmad Nuri Al-Amin
 
IPOH: Pas Perak kesal dengan sikap Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang seolah-olah tidak berlaku adil terhadap Pas dengan menutup mata dan melupakan segala sikap prasangka buruk yang dilakukan oleh Barisan Nasional (BN) khususnya Umno.

Ketua Penerangannya, Dr Ahmad Nuri Al-Amin berkata, pelbagai kepincangan yang berlaku seperti  rasuah, ketirisan dan penyelewengan dalam pemerintahan BN namun tiada sebarang teguran dan kenyataan yang dibuat oleh Mufti itu.

“Malah Umno sebagai parti pembangkang di negeri-negeri pemerintahan Pakatan Rakyat (PR) juga tidak mengiktiraf usaha kerajaan negeri memajukan rakyat, bahkan berusaha untuk menyekat sumber royalti hak rakyat negeri itu dan menimbulkan pelbagai fitnah terhadap kerajaan PR di saluran-saluran perdana milik kerajaan pusat.

“Adakah mereka mengikut ajaran Islam yang sebenar? Adakah ini tidak lebih teruk dari Kafir?,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian, semalam.

Ahmad Nuri berkata, seorang mufti mesti bersikap adil kepada semua umat dan tidak boleh prejudis pada golongan-golongan tertentu sahaja.

Beliau berkata demikian mengulas lanjut kenyataan Harussani yang mengatakan Pas lebih teruk daripada kafir seperti mana yang disiarkan sebuah akhbar baru-baru ini.

Menurutnya, seorang mufti seharusnya mendapat tasawwur dan gambaran sebenar satu-satu isu sebelum mengeluarkan hukuman.

“Kami mengambil sikap seperti mana yang dianjurkan oleh ajaran Islam dan kami telah pun menyatakan hasrat untuk bertemu dengan Harussani bagi menjernihkan suasana agar mendapatkan maklumat yang sebenarnya.

“Kami tidak mahu rakyat mencemuh Mufti kerana bersikap berat sebelah dan tidak adil sepertimana yang dituntut oleh ajaran Islam.

“Harussani perlu mendapatkan maklumat sebenar dan menilai setiap apa yang dilaporkan oleh media massa secara benar tanpa berpihak kepartian,” katanya.

Tiada ulasan: