Rabu, 27 Februari 2013

Banjir Hulu Besut; Paras Air Lebih Tinggi Ada Kaitan Empangan

Wartawan Buletin

KUALA TERENGGANU - Banjir yang berlaku dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut agak luar biasa dan paras air lebih tinggi daripada banjir yang dialami pada musim tengkujuh pada Disember lalu.

Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) PAS Hulu Besut, Shalahuddin Jaafar berkata beberapa kampung telah ditenggelami air dan terputus dengan hubungan luar antaranya Kampung Batu 13, Felda Tenang, Kampung Padang Bual, Kampung Bekok, Kampung Pasir Akar dan Kampung Jerubun.

Beliau mengesyakki kejadian banjir tersebut ada kaitan dengan empangan Paya Peda yang masih dalam pembinaan.

"Kali ini agak teruk dari musim banjir baru ni, air naik lebih tinggi dan jalan terputus bila dinaiki air, saya syak ada kaitan dengan empangan kerana ada aliran air dari empangan yang disalurkan ke sungai Bekok,

"bila air sungai itu melimpah dia jadi 'sebak' apabila air hujan yang turun dari bukit, menyebabkan banjir, dulu tak begini,"ujarnya ketika dihubungi Selasa malam, 26 Februari.

Sehubungan itu beliau berkata 160 buah keluarga dari Kampung Padang Bual yang terjejas akibat kejadian kepungan air empangan tersebut yang pecah belum mendapat tuntutan ganti rugi dari pihak berkuasa.

Beliau dimaklumkan para penduduk terbabit enggan menerima pampasan sebanyak RM1000 yang mahu diberikan kerana ia tidak berpadanan dengan kerugian yang mereka alami.

"Dalam seminggu dua ni, saya dimaklumkan ada pihak yang panggil mereka (penduduk Kampung Padang Bual) nak beri pampasan sebanyak RM100 seorang, ttetapi mereka menolak kerana jumlah tersebut tak padang dengan kerugian,

"mereka masih menunggu bayaran tuntuan ganti rugi berjumlah RM1.3 juta yang telah mereka usulkan dalam memorandum kepada pihak Kementerian Pertanian,"jelasnya. 

Beliau memaklumkan, memorandum penduduk Kampung Padang Bual itu telah diserahkan sendiri kepada Ketua Setausaha Kementerian Pertanian sewaktu kunjungannya ke empangan Paya Peda tidak lama selepas kejadian banjir pada Disember lalu.

Sementara itu, menurut statistik yang dikeluarkan oleh Bilik Gerakan Banjir Negeri Terengganu pada jam 3 petang hari ini Selas 26 Februari, seramai  629 orang dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan, ekoran mubah tersebut yang melanda beberapa daerah dinegeri ini.

Di daerah Besut seramai 160 orang telah dipindahkan dari 55 keluarga ke 6 buah pusat pemindahan banjir, di daerah Dungun seramai 339 orang di kampung  Raja dan kampung Syukur telah dipindahkan dan seramai 129 orang dari 30 keluarga di daerah Setiu.

Mangsa banjir telah meningkat seramai 130 orang menjadikan keseluruhannya seramai 798 orang menurut catatan pada jam 5 petang tadi dengan pertambahan satu daerah lagi dilanda banjr iaitu daerah Hulu Terengganu.

Seramai 106 orang dari Kampung Basong dan 21 orang dari Kampung Pasir Dula telah dipindahkan ekoran paras air yang semakin meningkat di Hulu Terengganu, manakala mangsa dari daerah Setiu meningkat seramai 3 orang menjadikan jumlahnya 132 orang.

Tiada ulasan: