Khamis, 28 Februari 2013

Dewan Perniagaan Melayu tawar bantuan pelabur British saman bekas bendahari Umno

Oleh Md Izwan



KUALA LUMPUR — Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) berkata pihaknya sedia membantu 60 pelabur British yang mengemukakan saman terhadap bekas bendahari Umno, Datuk Seri Abdul Azim Zabidi serta dua defendan lain kerana didakwa melakukan penipuan berjumlah RM12.8 juta.

Presiden DPMM Syed Ali Al Attas berkata pelabur British tersebut dialu-alukan untuk mengemukakan aduan rasmi kepada DPMM dan pihaknya akan menjalankan siasatan ke atas dakwaan tersebut.

"Dan jika mereka mahu merujuk kepada dewan (DPMM), kami alu-alukannya.

"Mereka boleh tulis kepada setiausaha agung dan pastinya kami lihat perkara tersebut dengan panel perundangan kami," kata Syed Ali (gambar) mengemukakan tawaran kepada pelabur-pelabur British tersebut.

Apabila ditanya sama ada kes saman tersebut akan menjejaskan keyakinan pelabur terhadap Malaysia, Syed Ali bagaimanapun menolak perkara itu, sebaliknya berkata pasaran negara masih kukuh ketika ini.

Syed Ali berkata pelabur di Malaysia bijak untuk menilai pasaran dan tahu apa yang mereka lakukan, sambil menambah kes saman oleh pelabur British tersebut baginya adalah kes terpencil dan berlaku dimana-mana negara.

"Saya tidak rasa ia akan beri kesan kepada pelabur untuk datang ke Malaysia kerana ahli peniagaan adalah bijak.

"Mereka tahu apa yang mereka lakukan," kata Syed Ali selepas sidang media Persidangan Muslim Sedunia yang bakal berlangsung 4 Mac ini.

Walaubagaimanapun, Syed Ali menegaskan tindakan tegas wajar diambil terhadap individu yang terlibat dalam kes penipuan tersebut serta menyatakan keyakinannya bahawa pihak berkuasa akan menjalankan siasatan dengan teliti dan telus.

"Tapi tidak bermakna tiada tindakan undang-undang diambil ke atas mereka.

"Pihak berkuasa pastinya akan mengambil tindakan pantas, jangan risau pasal hal itu," tambah Syed Ali yang merujuk kepada pihak polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Kementerian Perdagangan.

Kenyataan Syed Ali hari ini sebagai respon, apabila Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia Datuk Seri Mustapha Mohamed semalam berkata pihak berkuasa akan menjalankan siasatan terhadap Abdul Azim serta dua defendan lain kerana menipu 60 pelabur British sebanyak RM12.8 juta.

Semalam, pelabur British mendedahkan mereka telah memfailkan saman terhadap Doxport Technologies Sdn Bhd milik Abdul Azim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 20 Februari lalu melalui firma guaman, The Chambers of Kamarul Hisham & Hasnal Rezua.

Ketua wanita PKR, Zuraidah Kamaruddin, berkata, 60 pelabur British melalui syarikat Fiscal Capital City Sdn Bhd (FCC) jelas ditipu oleh Doxport, syarikat milik Azim, dan mereka menemui beberapa pemimpin tertinggi negara, antaranya Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut Hasnal, 60 warga British itu melabur sebanyak AS$4 juta kepada Doxport Technologies pada Januari 2009 semasa Azim menjadi bendahari Umno. Azim yang kini ketua bahagian Bukit Bintang, digantikan oleh Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah sebagai bendahari Umno pada April 2009.

Hasnal berkata pelabur tersebut membuat laporan polis pada 2011 selepas mendapati tidak ada suis Telekom itu beroperasi di Malaysia.

Peguam tersebut berkata pelabur tersebut menyaman untuk mendapatkan semula pelaburan mereka, disamping ganti rugi am dan tauladan.

Azim - yang menjadi pengerusi Bank Simpanan Nasional dari 1999 hingga 2009, dan Institut Bank Simpanan Dunia dari 2006 hingga 2009 - juga berhadapan dengan skandal Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ) selalu pengerusi Kuala Dimensi Sdn Bhd, pemaju utama projek tersebut.

Tiada ulasan: