Rabu, 27 Februari 2013

Pakatan: Semua negeri pengeluar minyak dapat 20 peratus royalti

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR : Pakatan Rakyat mengulangi jaminan akan melaksanakan kenaikan royalti kepada semua negeri pengeluar utama minyak meliputi Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak.

Pembayaran royalti itu ditingkatkan dari 5 peratus kepada 20 peratus.

Penekanan ini dinyatakan dalam dokumen Manifesto Pakatan Rakyat pada muka surat 12 yang diumum Isnin lalu.

“Menaikkan royalti kepada negeri-negeri pengeluar minyak dan gas dari 5 peratus ke 20 peratus,” tulis dokumen itu.
menifesto pakatan rakyat 2013
Ini sekaligus menafikan dakwaan sesetengah pihak mengatakan manifesto itu tertinggal memasukkan tuntutan untuk mendapatkan 20 peratus royalti minyak kepada negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Dalam manifesto itu, ditegaskan juga bahawa bayaran royalti tersebut akan diterima Sabah dan Sarawak.

“Kami akan menaikkan bayaran royalti ke atas petroleum dan sumber hidrokarbon kepada Sarawak dan Sabah dari 5 peratus kepada 20 peratus,” jelas dokumen itu pada muka 10.

Kenyataan ini terkandung di bawah teras Rakyat Bersaudara dengan pecahan tajuk ‘Menghormati kedudukan Sabah dan Sarawak di dalam Persekutuan’.

Jelas di sini tidak timbul keciciran bayaran royalti kepada Kelantan, Terengganu dan Pahang, hanya kerana negeri-negeri ini tidak disebut dalam dokumen manifesto itu.

Tiada ulasan: