Oleh Arif Juhani
PETALING JAYA Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak kalangan pemimpin kerajaan yang menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya oleh Transparency International- Malaysia (TI-M), tetapi terpalit skandal penyelewengan dan rasuah.
Ketua Umum KEADILAN mendedahkan, ada pemimpin kerajaan yang terlibat dalam skandal seperti Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dan Scorpene menandatangani ikrar tersebut.
Anwar menegaskan, Pakatan Rakyat menolak ikrar itu kerana tuntutan Pakatan supaya sistem pilihan raya dibersihkan masih belum ditunai.
“Mengapa tokoh-tokoh seperti ini bersungguh-sungguh menyokong Integriti Pilihan Raya sedangkan mereka sendiri mempunyai integriti yang dipertikaikan?
“Apa tindakan diambil oleh pihak berkuasa untuk menyiasat kes mereka selepas kita mendedahkan pelbagai penyelewengan dan salahguna kuasa yang dilakukan?” soalnya.
“Sepatutnya tidak timbul persoalan kenapa Pakatan tidak menyokong (ikrar itu) kerana jelas Pakatan sudah tunjukkan kesungguhan memulihkan proses pilihan raya Malaysia yang bercelaru,” katanya pada sidang media di ibu pejabat parti hari ini.
Turut hadir, Naib Presiden, Tian Chua dan Pengarah Strategi, Rafizi Ramli.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 20 Februari lalu menandatangani ikrar itu dan membuat perisytiharan terbuka untuk mendukung integriti dan memperteguh komitmen beliau terhadap agenda negara dalam memerangi rasuah terutamanya dalam Pilihan Raya Umum ke-13.
Ikrar itu menetapkan calon yang akan bertanding pada PRU perlu mematuhi prinsip benar, integriti, tatalaku beretika dan akauntabiliti, termasuk tidak menerima atau memberi rasuah, atau terlibat dalam mana-mana amalan rasuah.
Calon juga perlu mendukung dan mengutamakan kepentingan rakyat secara menyeluruh, mengamalkan tadbir urus baik dan ketelusan; dan mematuhi undang-undang dan peraturan Malaysia.
Ini sangat bercanggah dengan kredibiliti pemimpin BN yang terjejas dengan amalan rasuah tetapi dibiar bebas tanpa dikena tindakan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan