Isnin, 18 Februari 2013

ROS akui kesilapan, cuma Hishamuddin belum minta maaf

Roketkini.com.



KUALA LUMPUR: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) akhirnya terpaksa mengaku dan memohon maaf terhadap kesilapannya berhubung isu penyerahan laporan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, 12 Disember lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Rahman Othman berkata, kenyataannya sebelum ini adalah berdasarkan maklumat yang tidak dikemaskini dan menimbulkan kekeliruan.

“ROS memohon maaf kepada semua pihak berhubung kesilapan itu,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Bagaimanapun, sehingga kini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang menggesa ROS memulakan siasatan terhadap DAP kerana gagal menyerahkan laporan pemilihan CEC DAP kepada agensi itu sehingga 15 Februari lalu, masih belum memohon maaf berhubung kenyataannya yang menjatuhkan imej dan kredibiliti DAP.

Hishammuddin dilaporkan media berkata, DAP sepatutnya menyerahkan laporan itu dalam tempoh 60 hari pemilihan CEC, pada 12 Disember lalu, namun didapati tidak berbuat demikian sehingga tempoh berkenaan berakhir.

Semalam, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke berkata, Menteri Dalam Negeri itu telah melakukan pembohongan apabila mendakwa parti itu masih gagal menghantar penyata tahunan kepada ROS sedangkan ia sudah dihantar pada 8 Februari lalu.

“Saya sendiri pergi bersama pegawai saya dan menyerahkan borang dan laporan yang diperlukan itu melalui kaunter dan ia sudah dicop terima,” katanya.

Kenyataan Hishammuddin sebelum ini telah menimbulkan persoalan serius adakah pembohongan itu merupakan satu konspirasi untuk membatalkan pendaftaran DAP.

“Kami ada bukti sudah hantar laporan berkenaan. Adakah ini satu konspirasi oleh Barisan Nasional  (BN) untuk pastikan DAP dibatalkan pendaftarannya,” katanya dalam sidang media, hari ini.- Roketkini.com.

1 ulasan:

Sabuli berkata...

Perkara pembohongan beginilah yang susah bakal pengundi nak sokong UMNO-BN... saya pengundi atas pagar..