Sebanyak 21 buah sekolah lagi di Kelantan akan ditutup hari ini akibat banjir gelombang ketiga di negeri ini, kata Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan, Hussain Awang.
   
Beliau berkata ini berikutan sekolah tersebut digenangi air akibat limpahan air sungai selepas hujan lebat sejak empat hari lalu yang boleh membahayakan nyawa pelajar, guru dan petugas.
   
"Sekolah terlibat ialah 15 buah di jajahan Pasir Mas dan enam lagi di jajahan Tanah Merah," katanya di Kota Bharu semalam.
   
Sekolah di jajahan Pasir Mas ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Tiang Chandi; SMK Rantau Panjang; Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Alfalahiah Sirah; SABK Diniah Bongor; Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Rantau Panjang I; SK Kok Pauh; SK Kampung Baru; SK Rantau Panjang; Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Khay Boo; SK Bakong; SK Gual Sitok; SK Sri Rantau Panjang II; SK Rahmat; SK Gual Tok Deh dan SK Lubok Stol.
   
Enam lagi sekolah di jajahan Tanah Merah ialah SK Sokor; SK Ladang Kerilla; SK Kampung Panjang; SK Tebing Tinggi, SK Kulim dan SABK Tarbiayah Islamiah (Kuala Kajang).
   
"Kami sedang membuat pemantauan bagi mengumuman perkembangan terbaru terhubung perkara itu," katanya.- Bernama