Selasa, 26 Februari 2013
Konvensyen PR : Terhebat Atau Gelora?
Mulanya konvensyen itu didesas desuskan bakal memuktamadkan Anwar sebagai perdana menteri tetapi tidak dilakukan ekoran ada sedikit masalah apabila ada percanggahan di kalangan tertentu di dalam PAS mengenai siapa yang layak menjadi perdana menteri.
Konvensyen berkenaan juga dikatakan terpaksa mengubah agenda asalnya untuk menobatkan bakal perdana menteri tetapi tidak berbuat demikian kerana sebab-sebab tertentu. Khabarnya berlaku salah faham ini menyebabkan ada pendapat mengatakan konvensyen berkenaan tidak berjalan selicin yang diharapkan? Pendapat itu tidak benar dan merupakan pemanipulasian berita.
Bagaimana pun ketegasan dan jaminan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bahawa Anwar akan dilantik menjadi perdana menteri sekiranya Pakatan Rakyat menang menjawab teka teki itu, dan ini menjadikan konvensyen itu mencapai matlamatnya tersendiri.
"Kalau Pakatan Rakyat menang kita akan melantik Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri," kata Guan Eng ketika menyampaikan ucapan perutusannya disambut dengan tepukan bergemuruh. Pengulangan azam dan ikrar DAP itu dianggap sebagai pengumuman rasmi Anwar adalah bakal perdana menteri seperti mana yang dikonsensuskan awal-awal dahulu.
DAP tidak pernah menukar calon PM dan konsisten ini menjadikan parti itu lebih dilihat berintegriti berbanding dengan PAS yang sedikit 'kluk klik'. Sebelum ini sudah beberapa kali penasihat DAP, Lim Kit Siang menyebut Anwar sebagai bakal perdana menteri ke-7 dan ia sudah menjadi pengetahuan umum.
Lebih 1,500 perwakilan terdiri daripada PAS, PKR dan DAP serta pemerhati menghadiri konvensyen yang berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam. Konvensyen kali ini mendapat perhatian luar biasa di kalangan para ahli dan penyokong Pakatan Rakyat dan juga pengintip Umno Barisan Nasional. Ternyata mereka yang menjadi peserta bersemangat dan ghairah untuk menghadapi pilihan raya.
Soal siapa yang bakal dilantik menjadi perdana menteri bagi pihak Pakatan Rakyat menjadi polemik apabila nama Tengku Razaleigh Hamzah tiba-tiba dicadangkan kononnya oleh jawatankuasa eksekutif parti seperti mana disebut oleh Timbalan Mursyidul Am PAS, Dr Haron Din.
Cadangan dizahirkan Haron Din itu katanya 'tidak sah' kerana ia bukan merupakan keputusan mutlak oleh pihak PAS tetapi ia adalah idea beberapa kerat pemimpin tertentu PAS dan bukan dari eksekutif parti. Haron Dia dikatakan telah memaklumkan cadangan itu kepada Anwar menyebabkan Anwar terpaksa meminta penjelasan tuntas.
Mursyidul Am Pas Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai pengerusi Majlis Syura Ulamak yang dikatakan membuat keputusan itu menafikan ada apa-apa perbincangan dan ketetapan mengenai jawatan perdana menteri. "Karut..," begitulah ulas Nik Aziz ringkas semasa diajukan permasalahan itu kepadanya sebelum beliau bertolak ke Makkah untuk mengerjakan haji dua minggu lepas.
Apabila kecoh kerana cadangan berkenaan menimbulkan kemarahan rakyat, pihak tertentu di dalam PAS termasuk Haron Din yang menjadi perantaraannya menafikan, kononnya tidak timbul apa-apa masalah mengenai jawatan perdana menteri. Haron Din dalam satu penjelasan menolak desas-desus berkenan dan menjelaskan kunjungan Anwar ke rumah beliau sebagai kunjungan kawan kepada kawan. Beliau juga mengakui Anwar sudah lama dikenali.
Sementara itu Presiden PAS, Abdul Hadi Awang yang turut sama berucap tidak menyebut soal perdana menteri ataupun mengesah dan menafikan apa yang timbul di sekitar dalaman PAS. Bagaimana pun sebaris bidalan berupa nasihat daripada beliau sebelum menutup ucapan menjelaskan beliau ingin menamatkan kecelaruan berhubungan jawatan perdana menteri dan berharap semua ahli dan pendokong Pakatan Rakyat menghalakan dada ke arah BN.
Beliau memberi perumpamaan kata berbunyi; kacaulah tea atau kopi dengan gula didalam cawan tetapi jangan sampai cawan pecah. Kata-kata ini membawa maksud keributan didalam PAS atau Pakatan Rakyat boleh dilakukan tetapi jangan sampai berpecah belah.
Tambah beliau lagi biarlah "alu dan lesung" berlaga dan bergaduh tetapi jangan sampai 'BN' (ayam) yang kenyang. Sebuah lagi pantun beliau bermaksud, makan dan ambillah umpan tetapi kail biar tersangkut kail (joran) di leher Barisan Nasional.
Kata-kata Abdul Hadi itu mencerminkan tidak ada masalah kalau ada pertelingkahan dan perselehenan idea tetapi janganlah pertikaian itu sampai meretak dan memecah belahkan hubungan sehingga UBN mendapat manfaatnya. Patun atau bidalan Abdul Hadi itu mendapat sanjungan perwakilan konvensyen.
Anwar pula semasa berucap, sama sekali tidak mengulas mengenai polemik siapa bakal PM itu. Beliau yang mengingatkan apa yang penting perjuangan sekarang ini merupakan kebangkitan rakyat yang perlu ditangani dan pemimpin hanya sebagai pemangkin sahaja.
"Perjuangan ini adalah kebangkitan rakyat, pemimpin adalah sebagai pemangkin sahaja," ujarnya sambil menginsafkan mana-mana pemimpin jangan merasa kuat atau lebih sebaliknya perlu mengejatkan ikatan persefahaman untuk menghadapi kerajaan UBN.
Konvensyen yang merupakan forum Pakatan Rakyat terakhir sebelum pilihan raya itu diiringi ikrar oleh semua pimpinan dan ahli yang hadir, ia ditutup dengan bacaan doa oleh Tokguruku Nik Abdul Aziz Nik Mat. Antara intipati doa beliau memohon kepada Allah agar membuka pintu hati semua orang menerima agamanya, Islam.-DD
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan