Rabu, 27 Februari 2013

RTM siar atau tidak Pakatan pegang manifesto bersama

SALMIAH DRUHAMAD DRAHSIN

 Datuk Saifuddin Nasution Ismail
Datuk Saifuddin Nasution Ismail
 
SHAH ALAM - Seolah-olah tidak lagi mengambil pusing hak penyiaran manifesto menerusi stesyen televisyen tempatan pada pilihan raya umum akan datang, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerja-kerja menerangkan manifesto kepada rakyat akan diteruskan menerusi kempen dan program perikatan itu.

"Buat masa ini, kami sudah pun terlalu biasa berkempen tanpa menggunakan RTM. Bagi ruang atau tidak, kami akan teruskan kerja macam biasa," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Saifuddin sebelum itu ditanya berhubung status manifesto yang dibentangkan oleh gagasan itu kelmarin, sama ada ia manifesto bersama atau pecahan kepada tiga parti memandangkan pendaftaran gabungan itu belum disahkan oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS).

"Tidak ada, sekali," jawab Saifuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Konvensyen PR Keempat.

Manifesto PR dilancarkan pada konvensyen tersebut.

Persoalan dibangkitkan, jika ia adalah manifesto bersama, bagaimana mekanisme penyiaran manifesto itu akan diuar-uarkan menerusi televisyen kelak.

Adakah PR akan memecahkan manifesto itu kepada ketiga-tiga  parti di dalamnya seperti yang dipersoalkan oleh Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang.

Saifuddin bagaimanapun berkata, beliau enggan mengulas kenyataan timbalan menteri kerana menurutnya, tidak ada sebarang perbincangan dilakukan sehingga kini.

Malah kementerian juga, katanya, memilih untuk hanya bercakap kepada media sahaja.

"Sudah berapa lama dah... Rais Yatim pun keluar kenyataan. Mula kata nak bagi slot, kemudian kata nak bagi rakaman. Kemudian kata akan tapis kandungan manifesto.

"Tidak pernah berlaku sebarang perbincangan. Yang kita tahu hanyalah menteri dan timbalan menteri cakap kepada media. Itu sahaja," tegas Saifuddin.

Pihaknya bagaimanapun sedia untuk mempertimbangkan sekiranya ada keperluan untuk berbincang mengenai hak siaran manifesto.

"Kami akan teruskan kerja-kerja biasa kami. Jika di sana sekiranya ada keperluan untuk berbincang, kami tengoklah," katanya.

Penyiaran manifesto adalah sebahagian daripada syor Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) berkenaan dengan penambahbaikan sistem pilihan raya.

Tiada ulasan: