Isnin, 18 Februari 2013

Pengusaha Industri Mahu Jambatan Ke-Tiga Klang Sambung ke Pusat Bandar


MB pecah tanah jambatan klang 01

SHAH ALAM: Pelabur dan pengusaha industri menyambut baik cadangan Kerajaan Negeri membina jambatan ketiga Klang yang diharapkan dapat memudahkan lagi perjalanan ke Pelabuhan Klang.

Di dalam satu dialog bersama Kerajaan Negeri hari ini, mereka menyuarakan harapan agar jambatan tersebut yang akan merentasi Sungai Klang, dapat menghubungkan pelabuhan dengan pusat bandar Klang.

Walaupun mereka sedia maklum bahawa lalulintas di pekan Klang agak sesak, ia masih diperlukan kerana banyak industri dan syarikat yang menggunakan pelabuhan Klang mempunyai urusan di bandar Klang.

Harapan tersebut diutarakan oleh Presiden Dewan Industri dan Perdagangan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCCCI), Tan Sri Datuk Ng Teck Pong.

Namun begitu, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika menjawab permintaan menjelaskan, perkara yang penting dalam pembinaan jambatan tersebut adalah memastikan pengaliran trafik lancar dan lebih baik.

“KLSCCCI akan dijemput dalam masa terdekat untuk melihat pelan cadangan pembinaan jambatan.

“Kita mengalu-alukan cadangan yang diberikan dan bersedia untuk bekerjasama bagi mencari penyelesaian terbaik,” katanya pada sesi dialog Business Luncheon With SMI Companies di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC).

Turut hadir sama, beberapa Exco Kerajaan Negeri Teresa Kok, Dr Xavier Jeyakumar dan Ronnie Liu.
Pada sesi Dewan Negeri Selangor (DNS), Abdul Khalid mengumumkan pembinaan projek jambatan ketiga Klang yang sebelum ini dijanjikan Umno-BN pada tahun 2008.

Jambatan sepanjang 500 meter yang bernilai RM 300 juta itu akan dibiayai oleh Kerajaan Negeri menggunakan rizab simpanan negeri. Ia dijangka siap dalam tempoh 18 sehingga 24 bulan.

Proses memilih reka bentuk jambatan baru itu akan dimulakan mulai minggu ini sebelum tender dikeluarkan.

Pembinaan jambatan merentasi Sungai Klang ini penting kepada pengguna jalan raya khususnya penduduk di Klang kerana tidak perlu meredah kesesakan di tengah bandar Klang untuk ke Kuala Lumpur atau ke Pelabuhan Klang.

Dalam perkembangan sama, Abdul Khalid menegaskan, pembinaan jambatan ini tetap diteruskan meskipun Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan diadakan dalam masa terdekat.

Jelasnya, dalam perancangan sesebuah projek, kewangan yang kukuh adalah lebih penting daripada membuat pengumuman semata-mata.

“Ini pengajaran yang diambil pada Mac 2008. Kesilapan mereka (Umno-BN) tidak memberikan jaminan kewangan hanya (majlis) pecah tanah.

“Kita punya dana dahulu kemudian baru laksanakannya. Sekarang kita boleh buat (jambatan ketiga Klang,” ujarnya dalam satu sidang media selepas menghadiri perjumpaan bulanan kakitangan Kerajaan Negeri.

Tiada ulasan: