SINAR HARIAN
LAHAD DATU - Risalah-risalah dalam bahasa Suluk meminta penceroboh
rakyat Filipina menyerah diri disebar di sekitar kawasan Kampung Tanduo
sejak semalam tetapi setakat ini pihak keselamatan Malaysia belum
menerima sebarang reaksi daripada kumpulan itu.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata sejak risalah itu
ditabur, belum ada maklum balas daripada kumpulan penceroboh itu.
"Saya percaya mereka telah mendapat 'flyers' itu," katanya pada sidang
akhbar, hari ini, mengenai perkembangan terkini usaha menamatkan insiden
yang bermula sejak kumpulan yang mendakwa sebagai Tentera Diraja Sulu
menceroboh perkampungan nelayan kira-kira 130km dari sini 12 Februari
lepas.
Hamza berkata, pasukan keselamatan tidak teragak menggunakan kekerasan sekiranya anggotanya terancam.
"Kami tidak mahu mereka (penceroboh) meletakkan pasukan polis atau
pasukan keselamatan kita dalam satu situasi di mana kami tidak ada
pilihan lain (kecuali mengambil tindakan kekerasan).
"Kita kena ingat bahawa tujuan kita adalah untuk menyelamatkan nyawa.
Tapi nyawa pasukan keselamatan lebih penting daripada nyawa mereka
(penceroboh)," katanya.
Hamza berkata, sebarang tindakan oleh pihak keselamatan adalah
berlandaskan peruntukan undang-undang serta mengambil kira sebarang
kemungkinan dan kesan tindakan yang diambil. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan