Shahbudin Husin
Mahathir
bersuara lagi. Terbaru beliau menyatakan bahawa Anwar akan mengamalkan
nepotisme dan kronisme jika berjaya menjadi Perdana Menteri.
Dengan
mengambil contoh isteri dan anak Anwar yang menjadi Presiden dan Naib
Presiden PKR serta bekas Setiausaha Sulitnya, Azmin Ali sebagai
Timbalan Presiden PKR, Mahathir sekali lagi menyerang Anwar. Tujuannya
tidak lain ialah supaya rakyat tidak memberi kemenangan kepada Pakatan
Rakyat dan Anwar tidak berjaya menjadi Perdana Menteri.
Sebelum ini sudah beberapa kali Mahathir bersuara mengenai Anwar dan Pakatan Rakyat. Pantang ada kesempatan, Mahathir pasti melibas musuh politik nombor satunya itu.
Sebelum ini sudah beberapa kali Mahathir bersuara mengenai Anwar dan Pakatan Rakyat. Pantang ada kesempatan, Mahathir pasti melibas musuh politik nombor satunya itu.
Beliau
pernah mengingatkan rakyat agar jangan terlalu obses mahu menukar
kerajaan kerana katanya kerajaan baru belum tentu menjanjikan kebaikan
berbanding BN yang sudah banyak berjasa. Hujahnya ialah negara-negara
Arab yang bertukar kerajaan, sebahagiannya masih tidak aman sehingga
sekarang.
Mahathir
juga pernah mengecam Anwar sebagai pembawa budaya demonstrasi kepada
Malaysia. Katanya, sejak dulu Anwar sering menggunakan demonstrasi
untuk mencapai cita-cita politiknya. Selain itu, Mahathir juga sering
membuat pelbagai dakwaan terhadap Pas, DAP, PKR dan Pakatan Rakyat
dengan pelbagai perkara lainnya. Seringnya beliau menjadikan isu kaum
dan agama untuk melaga-lagakan parti-parti dalam PR dengan harapan
keyakinan rakyat makin berkurangan terhadap gabungan pembangkang itu.
Pendeknya,
serangan Mahathir terhadap Anwar dan PR sentiasa bertali arus dan
tidak pernah ada kesudahannya. Jika mahu dikumpulkan kecamannya itu,
sudah boleh dibuat buku tebal yang memerlukan beberapa hari untuk
membacanya.
Namun yang
jelasnya, semua kecaman dan serangan Mahathir itu menggambarkan
ketakutannya BN akan tumbang dan PR akan mengambil alih Putrajaya. Yang
lebih ditakutinya ialah jika Anwar berjaya menjadi Perdana Menteri
akhirnya.
Daripada
28 juta rakyat Malaysia, tampaknya Mahathirlah yang paling takut jika
BN tumbang dan Anwar menjadi Perdana Menteri, malah ketakutannya
melebihi ketakutan Najib yang akan kehilangan jawatan Perdana Menteri
atau Muhyiddin yang tidak tercapai hajat mendiami Seri Perdana andainya
BN tewas dalam pilihanraya nanti.
Mungkin yang ingin dipertahannya ialah ego dan legasinya, walaupun tidak dinafikan kepentingan anak-anaknya dalam perniagaan dan politik turut menjadi keutamaannya.
Mungkin yang ingin dipertahannya ialah ego dan legasinya, walaupun tidak dinafikan kepentingan anak-anaknya dalam perniagaan dan politik turut menjadi keutamaannya.
Walaupun
Anwar berkali-kali menyebut beliau tidak berdendam dengan Mahathir dan
keinginannya menduduki Putrajaya hanyalah untuk menyelamatkan negara
daripada dasar pemerintahan BN yang penuh kepincangan, rasuah dan salah
guna kuasa, hakikatnya tiada jaminan keselesaan Mahathir sebagai
seorang pesara tidak diusik langsung jika beliau mengambil alih kuasa.
Sudah banyak contoh di beberapa negara, bekas pemimpin yang diheret ke
muka pengadilan atas pelbagai kesalahan yang pernah dilakukan ketika
berkuasa dulu.
Apatah
lagi jika setelah menjadi PM nanti, desakan rakyat yang mahu Mahathir
diadili menjadi bertambah kuat sehingga sukar Anwar menolaknya. Lebih
sukar beliau menolak desakan rakyat itu andainya dengan membawa
Mahathir ke muka pengadilan, mampu pula melonjakkan sokongan rakyat dan
sanjungan dunia terhadapnya.
Beberapa
pemimpin UMNO sendiri tidak menafikan hakikat itu. Kata mereka,
meskipun sekarang Anwar mengatakan beliau tidak berdendam dengan
Mahathir tetapi itu bukanlah jaminan tiada sebarang tindakan akan
dilakukannya terhadap bekas Perdana Menteri itu, lebih-lebih lagi apa
yang dilakukan Mahathir terhadap Anwar adalah sesuatu yang dahsyat dan
penuh penghinaan.
Membayangkan
hakikat itulah barangkali yang membuatkan Mahathir sering terganggu
lenanya. Lantaran itu, selagi terdaya, beliau akan berusaha menghalang
kemaraan Anwar.
Dari sudut
yang lain, jika pun tiada tindakan diambil terhadap Mahathir selepas
Anwar menjadi Perdana Menteri, dengan kejayaan Anwar akhirnya menguasai
Putrajaya juga, ia sudah cukup memalukan Mahathir sendiri. Ketika itu,
beliau mungkin tidak bernilai lagi dan cakapnya pun tidak mahu
didengari lagi. Legasinya dan pengaruhnya akan terpadam serta-merta.
Jika BN
terus menang dan Najib kekal lagi sebagai Perdana Menteri, belum tentu
juga Mahathir mempunyai pengaruh yang sama. Ketika itu, Najib mungkin
sudah mempunyai keberanian mempamerkan belangnya sendiri sebagai
pemimpin nombor satu negara dengan meletakkan orang-orangnya di
beberapa posisi penting negara serta tidak lagi memperdulikan nasihat
Mahathir.
Najib
mungkin tidak mahu lagi terikat dan dibayangi oleh Mahathir. Dalam masa
yang sama, isteri Perdana Menteri, Rosmah pastinya menjadi lebih
berkuasa dan Mahathir secara automatik menjadi tidak penting lagi. Jika
beberapa bulan lalu ketika Rosmah diberi penghormatan melancarkan kapal
tentera laut, Gagah Samudera di mana Mahathir terpaksa berdiri di
belakangnya bersama Zahid Hamidi, pemandangan seperti itu mungkin lebih
kerap dapat dilihat jika Najib kekal lagi sebagai Perdana Menteri
selepas pilihanraya nanti.
Mahu tidak
mahu, jika Najib kekal lagi, Mahathir bukan saja akan kerap kelihatan
di belakang Najib, bahkan juga kerap membiarkan Rosmah berada di
depannya demi memastikan masa depan anak-anak dan keluarganya
terpelihara. Dengan Najib kekal lagi sebagai Perdana Menteri, walaupun
Mahathir masih relevan ketika itu tetapi darjat dan kepentingannya, baik
dalam UMNO mahu pun di kalangan rakyat, pastinya mulai menurun.
Nasib
Mahathir hanya lebih baik jika BN menang tipis dan perubahan kepimpinan
dalam UMNO dan kerajaan menjadi suatu keperluan untuk menghadapi
pilihanraya yang seterusnya. Sebagai Timbalan Perdana Menteri sekarang,
Muhyiddin mungkin menjadi pilihan Mahathir untuk ditonjolkan bagi
menggantikan Najib.
Dengan
Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, beliau tiada pilihan selain
menggunakan Mahathir untuk membantunya menguatkan UMNO dan kerajaan yang
baru diambil-alihnya. Beliau akan terus bersuara dan kekal penting,
baik dalam UMNO dan kerajaan. Kepentingan anak-anaknya dalam politik dan
perniagaan juga akan terus terjamin.
Maka itu,
untuk memastikannya terus relevan, Mahathir bukan saja tidak mahu BN
tumbang dan Anwar menjadi Perdana Menteri tetapi juga tidak mahu BN
menang cemerlang dan Najib kekal lagi Putrajaya. Hanya Muhyiddin akan
menjadikannya kekal relevan.
Penulis
pernah menjadi wartawan beberapa akhbar di tahun 80an dan 90an, pernah
juga berkhidmat di MARA. Pada tahun 1996-2000 menjadi Setiausaha Biro
Ekonomi dan Pembangunan Usahawan, Pemuda Umno Malaysia dan 2004-2008
menjadi Naib Ketua Pemuda dan AJK Umno Bahagian Wangsa Maju. Telah
menghasilkan dua buah buku politik bertajuk Najib PM Terakhir…dan
Kesilapan-Kesilapan Najib.Beliau memiliki laman blog di
shahbudindotcom.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan