ASPAN ALIAS
PI Balasubramaniam telah kembali
ke tanah air petang semalam. Beliau di sambut oleh lebih kurang 50 orang di
lapangan terbang KLIA. Beliau dikatakan telah kembali dari India di mana beliau dan keluarga
telah menetap semasa menghilangkan diri dari negara ini.
Di antara yang datang menyambut
beliau kembali itu ialah Seevarasa, seorang Ahli Parlimen PKR serta Cik Gu Bad
dan beberapa wakil NGO. Tidak pula nampak kelibat Najib Razak atau Razak
Baginda berada di lapangan terbang untuk menyambut kepulangan Balasubramaniam
itu. Dulu Bala ini menjadi orang penting dan Najib telah mengupah orang tengah
untuk mencari PI ini, tidak kira malam atau siang. Ingatkan adalah Najib datang
menyambut kepulangan Bala semalam.
Tetapi tidak ada pula liputan
besar-besaran dari pihak media massa
perdana seperti TV3 dan lain-lain. Dulu TV3 membuat liputan tentang akuan
bersumpah kedua Bala ini secara besar-besaran tetapi kali ini apabila kembali
menyatakan yang akuan bersumpahnya yang pertama yang betul dan benar, tidak
pula di liputi oleh TV3 dan media perdana yang lain.
Bala telah bersumpah dengan kitab
sucinya Bhagavad Gita yang akuan bersumpahnya yang pertama adalah yang benar
dan akuan bersumpah kedua itu adalah yang tidak benar. Akuan bersumpah kedua
itu adalah di desak oleh keadaan semasa itu kerana tekanan dan sebagainya yang
dilakukan oleh Najib dan Rosmah. Bala berkata apa yang telah diperkatakan oleh
Deepak itu semuanya benar dan betul belaka.
Tetapi Bala akan mengadakan ‘road
show’ nya tetapi tidak akan bersama Deepak kerana beliau akan melakukannya
sendiri tanpa Deepak. Bala akan melakukan ‘road show’ nya tidak lama lagi dan
akan membongkar segala-galanya berhubung dengan isu Altantuya dan
berbagai-bagai lagi yang melibatkan Najib serta Rosmah.
Apabila di tanya oleh pemberita
samada beliau tidak takut untuk melakukan pembongkaran isu ini, beliau berkata
beliau tidak takut kerana beliau percaya yang tidak mungkin pihak itu membunuh
lagi. Kepulangan Bala ini akan mengundang banyak lagi berita yang hangat di
negara kita ini. Isu yang terlalu banyak sekarang ini akan bertambah-tambah banyak
lagi dalam masa kita menghadapi pilihanraya ini.
Apa pun yang akan berlaku, yang
pasti ia akan memberikan impak yang besar terhadap kewibawaan Najib dan
keluarga tetapi ia juga membawa padah kepada pihak-pihak yang menyokong Najib
dan pimpinan beliau. Sesungguhnya aura Najib tetap merudum dan aura buruk yang
melekat kepada Najib itu akan membawa kejatuhan kepada parti dan kerajaan yang
di pimpin beliau.
Itu sebab nya saya tidak dapat menidakkan
hakikat yang UMNO sedang menghadapi isu yang tidak dapat di uruskan oleh mereka
lagi. Tidak ada ruang yang tidak bermasalah dan tentunya keadaan ini akan
menjejaskan segala urusan kerajaan dan imej negara. Bagaimana kerajaan hendak
menumpukan usaha untuk membina negara sedangkan mereka sendiri sedang
menghadapi masalah mereka sendiri. Tidak
mungkin mana-mana pentadbiran itu akan menjadi pentadbiran yang baik jika yang
mentadbir itu sendiri mempunyai masalah sendiri yang terlalu besar.
Selalu kita berfikir bagaimana
kah UMNO hendak memperbaiki diri kerana pimpinannya tidak tahu dan mengenali
yang mana satu yang baik dan yang mana yang tidak baik. Mereka di tekan oleh
budaya buruk yang telah terbina begitu lama oleh pimpinan UMNO sejak hampir
tiga puluh tahun dahulu.
Dr Mahathir telah menanamkan budaya
dan kepercayaan yang membina negara ini ialah pembinaan bangunan yang
tinggi-tinggi, jambatan yang terpanjang di dunia atau pun tiang bendera yang
tertinggi dalam dunia dan sebagainya. Dr Mahathir telah membina pemikiran
rakyat yang negara maju itu adalah negara yang rakyatnya yang kaya raya dan
pembangunan fisikal yang boleh di jadikan tempat pelancungan.
Dr Mahathir sendiri tidak tahu
yang pembangunan negara (nation building) bukan setakat pembangunan fisikal
yang hebat dan besar tetapi juga membina mentaliti yang mempunyai kelas yang
baik secocok dengan keadaan waktu dan zamannya. Sikap dan mentaliti orang ramai
sudah punah ranah kerana isu ini tidak di bina oleh Mahathir yang memerintah
kita selama 22 tahun. Malahan sikap dan mentaliti yang baik dahulu sudah
terhapus dan nilai budaya kita telah terhakis dengan begitu teruk sekali.
Tidak ada salahnya untuk sesiapa
membina ‘empire’ perniagaan yang besar-besar tetapi apa yang salahnya rakyat
telah terbina satu persepsi yang kekayaan itu hanya boleh di perolehi dengan
melakukan peniagaan yang bersifat ‘monopolistic’ seperti yang di bina oleh Dr
Mahathir dan semua pemimpin yang mewarisi kepimpinan beliau sehingga ke hari
ini.
Kita boleh saksikan yang Syed
Mokhtar itu tidak ada apa yang boleh di banggakan kerana beliau mendapat sokongan
dari pihak kerajaan melalui pengaruh Dr Mahathir untuk mendapatkan
segala-galanya tanpa bersusah payah seperti ‘corporate captains’ yang lain. Segala
kepunyaan rakyat yang ada di laut dan di darat di berikan kepada Syed Mokhtar
dan sekarang sedang mengintai untuk mengambil alih Sistem Penerbangan Malaysia (MAS)
pula.
Tidak ada perniagaan yang beliau
bina sendiri dan di perbesarkan. Syed ini hanya menggunakan pengaruhnya untuk
mendapatkan apa yang sudah sedia terbina. Budaya ini sudah tertanam dalam benak
rakyat kita dengan begitu dalam sekali. Apabila seseorang itu mendapat memiliki
harta dan kepunyaan rakyat, orang sebegini di anggap sebagai orang yang
berjaya.
Itulah sebabnya untuk
memperbetulkan keadaan ini tidak mungkin boleh dilakukan oleh kumpulan yang
membinanya. Oleh yang demikian adalah wajib dan penting sekali untuk merubah
pimpinan negara secara ‘total’ dan menyeluruh.
Ada seorang rakan saya mempunyai pandangan
yang ‘conclusive’ terhadap UMNO sekarang ini. Beliau berkata, “If you want to
break anything, give it to UMNO, and if you want to make it worst give
it to UMNO to fix it back”.
Sampai ke hari ini saya teringat
dengan kata-katanya itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan