Rabu, 27 Februari 2013

Pakatan Rakyat Mansuh AUKU Dalam Tempoh 100 Hari Perintah Putrajaya


mansuh AUKU


SHAH ALAM  : Pakatan Rakyat(PR) menegaskan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) akan dimansuhkan dalam tempoh 100 hari pertama apabila gagasan itu berjaya ke Putrajaya.

Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata ia akan digantikan dengan akta lain yang memberikan kebebasan kepada mahasiswa dan akademik.

Katanya, banyak aspek AUKU masih berada di dalam kongkongan Kementerian Pengajian Tinggi yang menghalang perkara pokok dalam kebebasan akademik.

“Kita kena faham banyak aspek AUKU contohnya perlantikan Naib Canselor masih berada di bawah kuasa Menteri Pengajian Tinggi.

“Saya juga pernah hadir sidang meja bulat dengan beberapa peserta Muafakat, AUKU bukan perlu dipinda tetapi dimansuhkan terus.

“Dan satu jawatankuasa khas ditubuhkan untuk membawa syor itu. Bagaimanapun, lebih satu tahun ia belum menjadi realiti,” katanya dalam Wacana Sinar siri ke 17 yang bertajuk Kuasa Politik Mahasiswa di Auditorium Kumpulan Karangkraf, di sini.

Wacana itu turut membariskan panel yang terdiri daripada bekas aktivis pergerakan mahasiswa, Tun Faizal Ismail Aziz ; Penganalisis politik, Prof Dr Azmi Hassan ; Timbalan Presiden Majlis Belia Malaysia, Muammar Ghadafi Datuk Jamal dan Presiden Gabungan Mahasiswa Islam (Gamis), Azan Safar serta moderator Prof Datuk Mohamad Abu Bakar.

Beliau menambah sebagai bekas seorang mahasiswa, mahasiswa tidak wajar menyertai kursus Biro Tata Negara (BTN) yang mana hanya dilihat lebih memberikan maklumat tentang dasar kerajaan selain menyerang pihak pembangkang.

“Ia berbeza dengan institut kerajaan lain, dalam BTN ia juga ada elemen perkauman, mereka serang pembangkang. Mahasiswa mahupun penjawat awam mereka tidak boleh dipaksa. Lagipun BTN menggunakan duit rakyat,” katanya.

Nik turut memberikan contoh beberapa mahasiswa digantung ekoran mengadakan debat dengan menjemput pemimpin DAP dan MCA.

“Kuasa politik dalam universiti masih menyekat mahasiswa menyebabkan banyak kekangan berlaku. Mahasiswa seolah diugut, bila jadi macam itu mereka takut,” katanya.

Sementara itu, Azan berkata walaupun AUKU dipinda tetapi ia perlu diberi perhatian dan disemak semula.
“Kuasa politik yang menyekat menyebabkan mahasiswa ‘lesu’. Kekangan dominasi dalam Universiti menjadikan lesu. Jika dibebas akan hilang lesu itu. Kita kena ingat tidak semua aktivis pelajar tidak bijak. Mereka terdiri dari pelajar cemerlang,” katanya.

Tambahnya, politik juga merupakan sebahagian dari akademik.

“Bila mereka dilarang bercakap, sistem pendidikan dan demokrasi perlu diperlihatkan. Kita bukan mahu wujudkan ‘politik konflik’ tetapi mahu politik tumpuan dan hujah, ” katanya.

Pada 2011, Mahkamah Rayuan memutuskan Seksyen 15 (5) AUKU sebagai tidak sah seterusnya dipinda.
Mengulas lanjut, Nik berkata apabila kes itu dibawa ke mahkamah, baru timbul kesedaran Kerajaan Persekutuan untuk meminda akta terbabit.

Tiada ulasan: