Selasa, 26 Februari 2013

Pakatan Rakyat dedah rasuah balak di Terengganu

 
Syarikat ditawarkan kawasan pembalakan dikehendaki memeterai satu perjanjian dengan seorang penama atau proksi supaya membeli saham syarikat dormant pada harga tinggi.



PETALING JAYA: Pakatan Rakyat hari ini  mendedahkan mengenai modus operandi yang didakwa mengutip wang rasuah yang berlaku dalam pengurusan balak di Terengganu.

Timbalan Setiausaha Agung PAS, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi mendakwa, syarikat ditawarkan kawasan pembalakan dikehendaki memeterai satu perjanjian seorang penama atau proksi supaya membeli saham syarikat dormant pada harga tinggi.

Syarikat yang dipunyai penama atau proksi yang dijual ini selalunya dengan harga RM2 sahaja, dakwanya.
Sedangkan syarikat ini dijual pada harga yang cukup tinggi dan tidak berpadanan dengan aset dan kedudukan syarikat yang tidak mempunyai sebarang aktiviti perniagaan.

Syed Azman mendakwa, syarikat-syarikat yang terpaksa membeli saham syarikat dormant pada harga tinggi ini dianugerahkan hak membalak di kawasan yang ditentukan kerajaan Terengganu.

Beliau mendesak Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said tampil memberi penjelasan berhubung dakwaan tersebut.

`Orang tertentu yang berpengaruh’

“Wang dari jualan tersebut disyaki disalurkan kembali kepada orang-orang tertentu yang mempunyai pengaruh untuk menentukan hak membalak.

“Satu perjanjian telah ditandatangani pada 28 Disember 2011 (iaitu enam bulan sebelum kelulusan membalak dikeluarkan kerajaan Terengganu) agar syarikat terbabit membayar RM2.5 juta untuk membeli sebuah syarikat dormant yang mempunyai saham berbayar RM2 sahaja.

“Kami berjaya menjejaki penama dan syarikat yang terlibat dalam satu urusniaga pembelian,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR hari ini.

Ujar beliau, 12 syarikat terlibat dan dipaksa untuk membeli saham berharga RM2 tersebut.

Katanya, bukti-bukti penyelewengan ini akan terus dikeluarkan dalam tempoh dua minggu menjelang pilihan raya umum ke 13 dan menunggu jawapan rasmi dari Ahmad.

Pada 17 Julai tahun lalu, Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu mengeluarkan surat kelulusan membalak kepada sebuah syarikat bagi kawasan seluas 1,000 ekar di Hutan Simpan Hulu Setiu.

Keputusan ini diluluskan oleh mesyuarat lembaga mengambil hasil hutan yang dipercayai dipengerusikan oleh Ahmad.

Tiada ulasan: