Rabu, 27 Februari 2013

Vell Paari tetap dengan pendirian mengenai isu Ridhuan Tee, Ibrahim Ali

Oleh Clara Chooi
Penolong Pengarang Berita

Vell Paari: Presiden MIC berjanji akan membangkitkan isu di Kabinet. — Gambar fail Choo Choy MayKUALA LUMPUR— Vell Paari tetap dengan pendiriannya mendesak MIC untuk berkempen atas tiket sendiri daripada bersama Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya 2013 sekiranya parti pemerintah itu mahu memastikan tiada pihak yang menimbulkan isu perkauman terhadap komuniti bukan Muslim di negara ini. 
 
Namun Pengarah Strategi MIC itu berkata kepada The Malaysian Insider ia hanya bergantung kepada hasil mesyuarat Kabinet hari ini, yang mana katanya Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel, bersetuju untuk menyuarakan pendapatnya itu.

“Saya telah berbincang dengan presiden dan beliau berjanji akan membangkitkannya di Kabinet,” kata Vell Paari ketika dihubungi semalam.

Anak kepada pemimpin MIC paling lama berkhidmat, Datuk Seri S. Samy Vellu, mewujudkan gelombang dalam partinya minggu lalu apabila menghantar surat terbuka kepada Palanivel mendesak agar Kabinet mengambil tindakan terhadap tokoh akademik Muslim Dr Ridhuan Tee Abdullah dan presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali.

Vell Paari yang lebih fokus terhadap Ridhuan Tee berkata, kenyataan media yang dibuat oleh ahli akademik tersebut mengenai komuniti Hindu merupakan satu perkara yang serius, kerana ia membentuk majoriti masyarakat India di negara ini.

“Presiden parti juga turut menyuarakan kebimbangan beliau berkenaan sisu terbabit dan akan membincangkannya di dalam mesyuarat Kabinet, dan saya akan menunggu keputusan dari Kabinet,” katanya.

Sekiranya masih tiada sebarang maklum balasa daripada Kabinet mahupun kepimpinan tertinggi partinya, Vell Paari mengulangi ugutannya supaya masyarakat India mengundi mengundi pembangkang.

“Dalam CWC (Jawatankuasa Kerja Pusat), saya akan lampirkan apa yang dirasakan patut MIC lakukan. Jika mereka bersetuju dengan saya, itu bagus sekali,” katanya.

“Jika mereka menolak, saya akan melaksanakan agenda ini bersendirian. Ia bukan soal menyertai pembangkang, namun ... saya tidak akan bersama pembangkang kerana ia membuktikan saya tidak berjuang dengan benar.”

Vell Paari menjelaskan beliau akan membentuk platformnya sendiri bagi memastikan objektif politik mahupun sebaliknya dapat dipenuhi.

Malah, beliau turut mengakui dirinya telah mengambil risiko yang amat besar dengan kenyataannya, namun menjelaskan sedia meninggalkan MIC atau dipecat.

“Sebelum ini, tiada pihak yang membangkitkan. Apabila saya mengugut agar masyarakat India mengundi pembangkang, semua pihak mula mengambil berat,” katanya.

“Saya lakukan ini kerana ianya satu keperluan ... jika tidak tiada yang akan ambil peduli.”

Jelas Vell Paari, individu seperti Tee dan Ibrahim sebenarnya bertindak bertentangan dengan falsafah 1 Malaysia Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau turut mengingatkan kedua-dua mereka juga bakal menimbulkan perang sivil di negara ini, terutamanya apabila mereka dibenarkan untuk terus mengeluarkan kenyataan berunsur perkauman.

“Dalam politik, kita tidak boleh berdiam diri. Ianya bukanlah perkara yang baik. Jika kita terus mendiamkan diri, lebih baik jadi perpustakawan, bukan ahli politik,” katanya.

Vell Paari turut mempertahankan kaedah pilihannya, dan berkata ia bukan sahaja langkah terbaik menyelesaikan sebarang isu, tetapi juga pilihan komuniti India yang menginginkan ketelusan.

Jelasnya lagi surat terbukanya itu bukanlah menyerang Palanivel, tetapi hanya bertindak berlandaskan protokol, dan menambah presidennya itu memberi kebebasan untuknya bersuara dan bertindak apabila dilantik sebagai pengarah strategi.

Vell Paari turut mengingatkan Malaysia adalah negara berbilang bangsa dan sekiranya komuniti tidak dilayan seadilnya, mereka yang berkemampuan akan berhijrah ke luar negara.

“Bagaimana dengan mereka yang tidak berkemampuan untuk berhijrah?”

“Empat tahun kami telah katakan — lakukan sesuatu, buat sesuatu. Ianya teruk. Namun berdasarkan apa yang berlaku, umpama kita meminta Melayu dan bukan Melayu untuk bertelagah ... satu dengan keris, dan satu pihak lagi dengan parang.

“Kita semua sama ... namun jika ianya berlaku, saya tak pasti akan ke syurga atau neraka namun saya pasti saya dari Malaysia,” katanya lagi.

Setiausaha Agung MIC, Datuk S. Murugesan, mengesahkan CWC MIC selepas ini akan membincangkan isu yang dibangkitkan Vell Paari kepada Palanivel.

Murugesan bagaimanapun menambah, Palanivel perlu membincangkan dengan parti pertemuan selanjutnya, atau sebarang rancangan untuk menghukum Vell Paari kerana mengkritik kepimpinan MIC secara terbuka apabila mengatakan mereka pengecut dalam menguruskan isu perkauman yang dibuat individu seperti Tee dan Ibrahim.

Murugesan juga mengakui parti itu mempunyai saluran dalaman untuk membangkitkan perkara seperti itu, namun tidak mengulas sama ada Vell Paari bertindak di luar batasan.

“Beliau (Palanivel) belum lagi menghubungi saya berkenaan surat tersebu, namun saya telah maklumkannya. Kami menerimanya di pejabat kami dan saya hantar ke pejabat presiden,” kata Murugesan kepada The Malaysian Insider.

“Dan beliau maklum mengenai surat itu.”

Dalam suratnya, Vell Paari berkata beliau akan menyuarakan kebimbangannya dalam mesyuarat CWC akan datang yang mana pada kebiasaannya diadakan sekali, atau dua kali sebulan.

“Jadi kita akan membincanya dalam CWC,” kata setiausaha agung berkenaan.

Pemuda MIC telah membuat laporan polis Rabu lalu terhadap artikel Ridhuan yang dikeluarkan Sinar Harian bertajuk “Kesabaran Umat Islam Ada Had”, yang diterbitkan pada Isnin sebelum itu.

Ketua Penerangan Pemuda MIC, S. Subramaniam, berkata artikel itu “tidak sensitif” terhadap masyarakat Hindu, kerana ia membincangkan filem kontroversi “Vishwaroopam”, namun penulisnya mengaitkan filem berkenaan dengan penganut Hindu.

Dalam surat terbuka kepada Palanivel, Vell Paari berkata isu ini mesti dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet untuk mendesak Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Hussein bertindak ke atas pendakwah Islam itu, dan juga presiden Perkasa, Ibrahim.

“Jika kita terus berdiam diri dalam isu tersebut kerana takut menentang sesuatu kuasa, kita mungkin akan tutup kedai dan menjadikan Ibu Pejabat MIC sebagai restoran daun pisang,” katanya.

Tiada ulasan: