SEKINCHAN : Pihak polis digesa menjalankan siasatan segera dan menangkap dalang disebalik perbuatan mengsabotaj papan billboard yang mempromosikan pelancongan di Sekinchan.
Adun Sekinchan, Ng Suee Lim berkata, sebelum ini berlakunya demonstrasi yang didakwa didalangi oleh Umno Sungai Besar yang mengancam untuk mengecat billboard yang ada memaparkan gambar Suee Lim.
“Saya kesal dengan cara politik yang dimainkan oleh mereka yang memainkan sentimen perkauman.
“Sedangkan niat saya ikhlas untuk mempromosikan produk hasil laut Mentarang yang dijual di sekitar Sekinchan ini,” kata Suee Lim dalam sidang media yang diadakan di sini.
Jelas Suee Lim, kejadian sabotaj papan tanda billboard itu tidak wajar kerana papan tanda itu adalah bertujuan mempromosikan kawasan Sekinchan sebagai kawasan tarikan pelancongan dalam dan luar negara yang kini sedang giat dipromosikan.
“Promosi saya ini adalah untuk mempromosikan Mentarang kepada pengguna jalan raya di sini agar mereka mengetahui kewujudan hasil laut itu dan ini secara tidak langsung menaikkan pendapatan peniaga dan mendapat keuntungan yang lebih,” katanya.
Tambah Suee Lim, tiga laporan kepada polis dilakukan berhubung kejadian sabotaj itu yang memerlukan tindakan segera polis mengambil tindakan.
“Kita sedang menunggu apa tindakan yang akan dilakukan oleh pihak polis untuk melakukan sesuatu,” kata Suee Lim.
Tambah Ketua Kampung Parit 7 Baroh, Rojikin Sarbini berkata, hanya pihak Majlis yang boleh menjalankan tugas jika ada kesalahan dalam peraturan memasang papan tanda billboard itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan