Oleh Aisha Geoffrey
KUALA LUMPUR : Penipuan isu daftar pemilih yang selama ini
diketengah Pakatan Rakyat banyak melibatkan orang awam, kini terdedah
pula mangsa di kalangan orang Umno BN.
Perkara ini diketahui menerusi aduan Puteri Umno kepada KEADILAN
apabila mendapati mereka didaftar sebagai pemilih tanpa pengetahuan.
Naib Presiden, Fuziah Salleh berkata, KEADILAN juga menerima aduan sama dari pelbagai lapisan pemilih.
Golongan itu turut membabitkan pelajar luar negara, pemilih cukup umur dan orang dewasa yang tidak pernah mendaftar.
“Aduan itu melibatkan 100 kes di seluruh negara dan kira-kira 10 kes melibatkan Puteri Umno,” kata Fuziah.
Fuziah berkata, KEADILAN bertegas akan mengheret Suruhanjaya Pilihan
Raya (SPR) dan penolong pendaftar ke mahkamah jika didapati sah
kedua-dua ejen pilihan raya itu bersekongkol dalam isu penipuan daftar
pemilih.
Ahli Parlimen Kuantan itu berkata, pihak yang mendaftar pihak-pihak
tersebut melakukan kesalahan jenayah mengikut Akta Kesalahan Pilihanraya
Seksyen 3(1)(a) dan boleh dihukum sekiranya didapati bersalah.
“Aduan diterima KEADILAN setakat ini cukup bukti untuk mengheret
penolong pendaftar dan SPR ke mahkamah, sekiranya sah mereka
bersekongkol,” katanya pada sidang media di ibu pejabat parti semalam.
Tambahnya, jumlah yang tinggi di kalangan pengundi baru juga
menunjukkan unsur-unsur kesalahan jenayah dari segi undang-undang negara
seperti termaktub di bawah Akta 5, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
“SPR juga harus perjelaskan bagaiman hal ini boleh berlaku. KEADILAN
turut menggesa semua yang terlibat termasuk dalam kategori di atas
segera memeriksa status pemilih mereka di laman web SPR,” tegas Fuziah.
Menurut beliau, jika terdapat individu yang mendapati nama mereka
didaftarkan tanpa pengetahuan, individu tersebut perlu ke pejabat SPR
dan buat cabutan borang permohonan mereka.
“Sekiranya tidak mendapat kerjasama SPR, laporkan kepada kami.
Setelah mendapat borang cabutan tersebut, sila buat laporan polis ke
atas pendaftar yang melakukan kesalahan tersebut,” katanya.
“Serah satu salinan borang cabutan dan laporan polis kepada kami.
KEADILAN akan lantik satu majlis peguam untuk membawa kes ini,” jelas
Fuziah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan