SHAH ALAM : Program Spiritual, Physical, Intelektual, Emosi dan Sosial (S.P.I.E.S) Selangor yang dimulakan sejak lima tahun lalu berjaya melatih 101,239 rakyat di negeri ini melalui 1,252 program yang dijalankan.
Menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim program SPIES ini memberi sumbangan terhadap pembangunan di negeri ini kerana pelaburan di negeri Selangor meningkat dalam lima tahun kebelakangan ini.
Menurut beliau, Selangor menduduki tangga pertama dengan sumbangan tertinggi kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri Selangor dengan menyumbang sebanyak 23 peratus.
“Saya sangat berterima-kasih dalam lima tahun penglibatan saudara-saudara semua, apa yang berlaku, Selangor membangun lebih bertambah dalam lima tahun ini.
“SPIES mengajar kita memberikan sumbangan dan sumbangan saudara adalah sebahagian daripada kejayaan kita,” katanya selepas merasmikan perlancaran Pembudayaan SPIES Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di sini.
Program pembangunan modal insan ini dilaksanakan mengikut beberapa kategori seperti SPIES Remaja, SPIES Belia, SPIES Siswa, SPIES Penjawat Awam, SPIES Warga Pendidik, SPIES Kepimpinan Masyarakat, SPIES Keluarga, dan SPIES Profesional.
Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata, modul program ini dibentuk bersandarkan kepada falsafah SPIES yang dibangunkan oleh ahli akademik, ahli agamawan, dan perunding berpengalaman dalam bidang pendidikan.
“Modul SPIES menggunakan beberapa teori dalam pendidikan seperti teori pembangunan manusia, falsafah pendidikan Islam, falsafah pendidikan kebangsaan, sosiologi Islam dan modul ini menekankan nilai universal dan prinsip universal,” katanya dihadapan 700 duta SPIES dalam pelbagai bidang.
Katanya, program SPIES ini diharap akan menjadi satu model pembangunan insan bagi seluruh rakyat di negeri ini dalam usaha menjadikan Selangor sebuah negeri yang aman, sejahtera dan berkebajikan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan