Khamis, 14 Februari 2013

MB: Selangor akan bincang pembubaran DUN minggu ini




SHAH ALAM — Kerajaan Selangor menafikan mereka telah membuat sebarang keputusan mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), sebaliknya menegaskan perkara itu hanya akan dibincangkan dalam mesyuarat antara pemimpin Pakatan Rakyat (PR) neheri dan pusat yang dijadualkan berlaku pada minggu ini.

Berikutan dengan laporan media pada Isnin lalu mengatakan kerajaan PR Selangor akan membubarkan DUN selepas perayaan Chap Goh Meh.

“Kami baru balik kerja (selepas Tahun Baru Cina) ... Kami akan umumkan selepas perjumpaan kami,” kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) kepada pemberita di sini.

Abdul Khalid pada 30 Januari lalu berkata kerajaan negeri akan membubarkan DUN di Selangor selepas Chap Goh Meh, jika Putrajaya masih enggan memberi sebarang petunjuk untuk membubarkan Parlimen.

Beliau bagaimanapun sehari selepas itu menjelaskan pengumuman itu dibuat pihaknya bagi mendesak perdana menteri agar segera mengumumkan tarikh pilihan raya umum ke-13.

Menurut Abdul Khalid, sebelum ini beliau enggan membubarkan DUN serentak dengan Putrajaya jika pembubaran berlangsung pada Jun tahun lalu, kerana mahu menguruskan bajet tahunan kerajaan negeri yang masih belum selesai.

“Tetapi, kita rasa kita perlu bubar lebih awal sekiranya Pusat masih belum bubar sebelum Chap Goh Mei, kita memikirkan untuk pembubaran lebih awal untuk mandat baru untuk kepentingan rakyat,” katanya.

Parlimen akan dibubarkan secara automatik pada 28 April dan pilihan raya mesti diadakan 60 hari dari tarikh tersebut.

Pemerhati menjangkakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan mengadakan pilihan raya pada penghujung Mac selepas memberi kesemua Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), program pemimpin Barisan Nasional percaya akan meningkatkan peluang dalam pilihan raya akan datang.

Abdul Khalid turut berkata pembubaran tersebut bergantung kepada Najib mengadakan pilihan raya, sama ada secara berasingan atau serentak dengan parlimen.

Beliau menerangkan keputusan tersebut dibuat kerana keengganan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membersihkan daftar pemilih.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof bagaimanapun sebelum ini berkata, kuasa membubarkan DUN terletak di tangan Sultan Selangor.

Tiada ulasan: