THE MALAYSIAN INSIDER
BALIK PULAU, – Seorang lelaki dijatuhi
hukuman penjara sebulan dan didenda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret di
sini hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menunjukkan
isyarat lucah kepada Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah dan
anggota polis, Isnin lepas.
Leong Pei Koe, 29, seorang juruukur bahan, didakwa menunjukkan
isyarat lucah kepada Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah ketika
kenderaan rasmi baginda melalui balai pelepasan Lapangan Terbang
Antarabangsa Bayan Lepas, dekat sini, pada pukul 11.50 pagi, 11 Feb
lepas.
Bagi pertuduhan kedua, Leong didakwa menunjukkan isyarat lucah kepada
anggota polis ASP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid di tempat, masa dan
tarikh yang sama.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 294 (a)
Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum menurut Seksyen 294 akta
sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda
atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan pertama Majistret Muhamad Hidayat Wahab menjatuhi
hukuman penjara 30 hari dan denda RM6,000 atau penjara dua bulan jika
gagal membayar denda itu.
Bagi pertuduhan kedua Leong dijatuhi hukuman penjara tujuh hari dan
denda RM2,000 atau penjara sebulan jika gagal membayar denda itu.
Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman dijalankan serentak dari tarikh tangkapan iaitu 11 Feb.
Leong membayar denda itu.
Muhamad Hidayat menjatuhi hukuman itu berdasarkan pengakuan salah dan
rayuan Leong bahawa dia memohon maaf atas kesalahan itu selain
kepentingan awam.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan