Khamis, 14 Februari 2013

Selangor telah siapkan dokumen untuk ambil alih SYABAS, kata MB


SHAH ALAM,— Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor telah pun menyiapkan surat tawaran bagi konsesi air di Selangor dan hanya menanti keputusan kerajaan Pusat berhubung cadangan negeri itu untuk mengambil alih Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) dalam tempoh 14 hari.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri juga akan meminta sekali lagi kepada kerajaan Pusat untuk bertindak secepat mungkin kerana isu penyusunan semula air adalah kepentingan rakyat di negeri terkaya itu.

The Malaysian Insider turut difahamkan, kerajaan Selangor akan menyimpan dokumen itu sehingga tempoh 14 hari itu tamat, dan seterusnya akan meneruskan tindakan mereka walaupun tanpa persetujuan Putrajaya.

“Kerajaan negeri masih lagi belum dapat surat dari Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin,” katanya ketika sidang media di Pejabat Setiausaha Kerajaan negeri di sini.

“Tetapi kita sudah siap surat tawaran kepada konsesi, kerajaan Selangor akan minta sekali lagi Pusat bertindak secepat mungkin memandangkan isu penyusunan semula air adalah kepentingan rakyat.”

Jelas Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu lagi, selaku pemegang “golden share” dalam Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS), kerajaan Pusat seharusnya menggunakan kuasa mereka bagi memastikan pemegang konsesi air itu menerima tawaran kerajaan negeri.

“Kerajaan Pusat ada ‘golden share’ dalam SYABAS, seharusnya menggunakan kuasa untuk memastikan SYABAS terima tawaran negeri,” tegas Ahli Dewan Undangan (DUN) Ijok itu lagi selepas mempengerusi mesyuarat exco.

“Saya harap Pusat tidak akan tidak bersetuju ... kalau tidak kita akan minta semakan kehakiman tentang keputusan (kerajaan) Pusat.”

Jelasnya, dokumen berkaitan perjanjian konsesi itu akan dihantar kepada pemegang konsesi bermula minggu hadapan, dan isi kandungan konsesi itu juga akan dihebahkan kepada masyarakat.

“Minggu hadapan kita akan hantar dokumen itu, dan akan kita hebahkan kepada masyarakat,” katanya.

Beliau mengharapkan pemegang konsesi tidak menjadikan alasan harga yang dikemukakan kerajaan negeri untuk menolak perjanjian tersebut.

“Kalau ada (yang menolak), perkara ini boleh dibincangkan dalam perundingan timbang tara antarabangsa bagi mendapatkan pampasan sewajarnya,” tambahnya.

Justeru kerajaan PR Selangor jelasnya akan memberi penerangan kepada rakyat Selangor berkenaan pelan dan langkah selepas kerajaan negeri mengambil alih pegangan SYABAS.

“Kita akan mengadakan Forum Air Untuk Rakyat’ bermula 18 hingga 28 Febuari depan di seluruh negeri,” katanya.

“Kita akan iklankan tarikh dan tempat forum ini di beberapa akhbar utama memudahkan rakyat mertancang dan persediaan awal.”

Pentadbiran Abdul Khalid sebelum ini mengumumkan akan mengambil alih SYABAS dalam tempoh 14 hari untuk menyelesaikan kemelut air di Selangor.

Tiada ulasan: