Sabtu, 20 Oktober 2012

Umno tubuh panel khas pantau ahli sabotaj parti

ARHIZA AHMAD

Najib Tun Razak
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
 
KUALA LUMPUR - Majlis Tertinggi Umno memutuskan untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengambil tindakan segera terhadap ahli parti yang mengkhianati dan sabotaj parti.

Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail yang juga Pengerusi Lembaga Disiplin Umno.

Menurutnya, penubuhan jawatankuasa itu mengikut Fasal 10 (15) Perlembagaan Umno yang dianggotai oleh ahli Majlis Tertinggi dan beberapa individu yang tiada kepentingan.

“Tujuan ia ditubuhkan bagi memudahkan tindakan segera diambil bagi mana-mana individu terutama ahli parti yang mengkhianati parti dan calon Barisan Nasional (BN).

“Sebelum ini setiap kesalahan yang dilakukan oleh ahli parti diserahkan kepada Lembaga Disiplin, dan ia mengambil masa tindakan dibuat, tetapi dengan adanya jawatankuasa ini tindakan akan diambil serta merta,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi di PWTC di sini, semalam.

Najib berkata, Majlis Tertinggi juga telah memutuskan untuk melantik salah seorang daripada setiap bahagian Umno di seluruh negara sebagai anggota jawatankuasa itu.

“Ia bertujuan untuk melaporkan secara terus kepada jawatankuasa itu, malah laporan juga boleh dibuat secara terus ke ibu pejabat parti atau online,” katanya.

Tiada ulasan: