Selasa, 16 Oktober 2012

Selangor catat lebihan hasil RM62 juta – Audit

Oleh Sidiqin Omar

KUALA LUMPUR : Kutipan hasil yang diperoleh kerajaan Selangor meningkat sebanyak RM62.5 juta pada 2011 berbanding tahun sebelumnya.

Hasil sebenar yang dikutip pula melebihi anggaran hasil iaitu RM204 juta (114.3 peratus).
Ia datangnya dari kutipan tiga jenis hasil iaitu hasil cukai (RM534.32 juta), hasil bukan cukai (RM791.18 juta) dan terimaan bukan hasil (RM308.50 juta).

Hasil cukai dan hasil bukan cukai turut meningkat sebanyak RM62.50 juta.

Hasil kerajaan negeri disumbang melalui premium geran tanah, cukai tanah semasa dan pemberian jalan raya/lorong.

Peningkatan hasil membolehkan kerajaan Selangor mengakhiri tahun kewangan 2011 dengan lebihan RM180.50 juta, naik RM56.26 juta (45.3 peratus) berbanding 2010.
Untuk rekod, kerajaan negeri pada 2010 mencatat kutipan hasil RM1.571 juta dengan lebihan RM124.24 juta.

Kerajaan Selangor juga berjaya mengurangkan tunggakan hasil negeri berjumlah RM75.26 juta (15 peratus) kepada RM426.79 juta pada 2011 berbanding RM502.05 juta pada 2010.
Prestasi pembayaran hutang awam pada 2011 pula sangat baik kerana baki hutang menurun sebanyak RM25.01 juta manakala tunggakan bayaran balik pinjaman berkurangan RM604.97 juta.

Berikutan itu, kedudukan kewangan kerajaan Selangor dikategori sebagai BAIK berikutan peningkatan dari segi simpanan, hasil, pelaburan dan pengurusan kewangan.

Penyata kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2011 mencatat peningkatan baki Kumpulan Wang Disatukan berjumlah RM1.944 bilion, meningkat RM357.13 juta berbanding RM1.58 bilion pada 2010.

Sekalipun melaksanakan program kebajikan rakyat seperti diskaun cukai pintu rumah kos rendah, pemberian air percuma 20 meter padu dan Jom Shopping, kerajaan Selangor masih mampu menambah simpanan.

Akaun Hasil Disatukan kerajaan Selangor pula mencatat lebihan RM180.50 juta berbanding RM124.24 juta pada 2010.

“Prestasi kewangan kerajaan Selangor pada 2011 meningkat berbanding 2010 dengan peningkatan lebihan hasil berbanding belanja mengurus dan pembangunan,” kata Ketua Audit Negara, Tan Sri Amrin Buang dalam laporannya.

Tiada ulasan: